KUALA TERENGGANU - Polis membuat persiapan lebih rapi dan pemantauan berterusan sepanjang musim tengkujuh kali ini, termasuk turun ke lokasi berisiko sekiranya hujan berlarutan hingga lebih sejam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir dan pelarasan di peringkat setiap balai juga sudah pun dibuat.
Selain itu katanya, 358 pegawai serta anggotanya telah bersiap sedia untuk digerakkan dan akan turut dibantu dengan sukarelawan simpanan polis (SSP).
“Beberapa mesyuarat telah pun diadakan dengan ketua polis balai masing-masing dan kita sudah mengarahkan mereka untuk kenal pasti kawasan-kawasan yang sering dinaiki air.
“Kalau hujan dalam tempoh sejam atau dua jam tanpa henti, mereka kena keluar untuk membuat pemeriksaan terutama sekali laluan yang kerap dinaiki air untuk mengelakkan masalah kesesakan di jalan dan sebagainya.
“Selain itu, kita juga bekerjasama erat dengan agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk selaraskan aset yang kita ada agar bantuan dapat digerakkan dengan cepat serta cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini, semalam.
Jelas Idris, sekiranya berlaku banjir, pihaknya berharap mangsa yang diarahkan untuk berpindah segera berbuat demikian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Mereka tidak perlu takut untuk tinggalkan rumah kerana polis akan meronda dan menjaga keselamatan kediaman mereka. Ini keutamaan kami, jadi mereka perlu akur dengan arahan yang diberikan.
“Kita tak mahu mereka lambat berpindah kerana jika tidak ia boleh membahayakan mereka sekiranya air naik dengan mendadak. Daripada maklumat yang kita terima, kemungkinan banjir akan berlaku di beberapa tempat bermula November sehingga musim tengkujuh berakhir Mac depan,” katanya.
Tambah Idris, beberapa kawasan yang diberikan tumpuan pihaknya adalah di Gong Badak, Seberang Takir dan Chendering, selain kawasan di tepi pantai.