Home » » 3 sekolah terbaik terima RM20,000

3 sekolah terbaik terima RM20,000

Written By aku on Thursday 5 November 2015 | 1:35 pm


JERTIH - Sebanyak tiga sekolah terbaik daripada 20 sekolah menengah di daerah ini yang melaksanakan program Menyulam Kasih Pendekatan Ar Rahman Ar Rahim akan menerima hadiah RM20,000.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sekolah yang berjaya melaksanakan program yang diperkenalkan secara rasminya pada awal tahun ini akan menerima hadiah tersebut yang disumbangkan Pejabat Parlimen Besut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, kesemua sekolah menengah di daerah ini melaksanakan program tersebut kecuali dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Jawatankuasa khas akan menilai hasil atau impak pelaksanaan program itu khususnya dalam usaha mengubah sikap negatif pelajar, jumlah pelajar ponteng atau ketidakhadiran ke sekolah menurun, masalah disiplin menurun dan sebagainya,” katanya.

Idris berkata, majlis penyampaian hadiah kepada sekolah yang menang dijangka akan diadakan awal tahun yang membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM60,000 tidak termasuk hadiah untuk guru atau mentor cemerlang.

Menurutnya, seramai enam guru (mentor) terbaik akan dipilih daripada kesemua sekolah terbabit dan mereka diberi hadiah wang tunai.

“Guru yang berdedikasi dan komited dalam program ini iaitu bersungguh-sungguh dalam mengubah disiplin dan sikap negatif pelajar akan menerima penghargaan semoga menjadi  sumber inspirasi kepada pendidik lain,” katanya.

Program Menyulam Kasih adalah cetusan idea Idris yang mahukan pelajar bermasalah dan tercicir di sekolah menengah di daerah ini dibantu agar berubah menjadi pelajar yang baik walaupun tidak cemerlang akademik.

Program yang bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelagat ini dilaksanakan bagi membolehkan pelajar yang sering melakukan kesalahan disiplin dapat dibantu secara khusus apabila setiap murid mempunyai guru angkat.

Guru yang dilantik akan membantu mengatasi masalah yang dihadapi pelajar kerana kebanyakan pelajar bermasalah berpunca daripada masalah kurang kasih sayang ibu bapa dan guru serta, keprihatinan dan keikhlasan guru-guru untuk membantu.

Lebih 900 pelajar (mantee) yang dikenal pasti terlibat dalam program ini dan pendekatan diambil guru terbabit seperti menjadikan pelajar itu seperti anak sendiri termasuk melawat ke rumah pelajar bermasalah.

Dalam perkembangan lain, Idris turut membantu pelajar perempuan, Wan Nur Asira Wan Hassan,20, dari Kampung Padang Landakyang gagal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan  kerana kemiskinan hidup mendapat perhatian pihak terbabit.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelagat pernah mendapat 5A dalam UPSR dan 8A dalam peperiksaan SPM.

Namun disebabkan kesempitan hidup, dia terpaksa berhenti sekolah dan mencari kerja sendiri untuk menampung hidup keluarga.

Nasib malang pelajar terbabit akhirnya mendapat perhatian Idris apabila beliau mengetahui nasib gadis itu ketika beliau berkunjung ke rumah keluarga pelajar itu ketika siri Jelajah Ramadan,  Jun lalu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger