Home » » ADUN PKR persoal Bajet P Pinang gagal beri peruntukan untuk kawasan kampung

ADUN PKR persoal Bajet P Pinang gagal beri peruntukan untuk kawasan kampung

Written By aku on Tuesday 17 November 2015 | 9:13 am


GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Dr Norlela Ariffin hari ini mempersoalkan Bajet 2016 kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang yang tidak memberi peruntukan kepada kawasan perkampungan untuk mewujudkan produk pelancongan baharu.

Dr Norlela (PKR-Penanti) berkata, dalam Bajet 2016 yang dibentang Ketua Menteri Lim Guan Eng pada 6 November lalu, sebanyak RM31.93 juta diperuntukkan untuk produk pelancongan di kawasan George Town dan bahagian pulau negeri ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini Pakatan Rakyat benar-benar melaksanakan janji untuk memperjuangkan nasib golongan yang tertindas dan paling memerlukan di negeri ini. "Jika ya, Bajet 2016 perlu mencerminkan belanjawan yang memperjuangkan nasib golongan yang paling memerlukan dan bajet yang dapat bantu kawasan yang paling memerlukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2016 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan mempromosi industri inap desa sebagai produk pelancongan di negeri ini namun dalam Bajet 2016 langsung tidak memberi peruntukan untuk program inap desa khususnya di kawasan kampung. "Bajet 2016 ini tidak nampak peruntukan yang jelas untuk pembangunan pelancongan kampung, homestay (inap desa) dan sungai tetapi hanya tertumpu kepada pelancongan di kawasan bandar," katanya. Dr Norlela berkata, kawasan kampung seperti di Penanti tidak harus diabaikan oleh kerajaan negeri kerana ia juga mempunyai potensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, kerajaan negeri harus memberi lebih perhatian kepada pembangunan perkampungan dengan membina lebih banyak infrastruktur seperti jalan, parit dan dewan orang ramai. Luahan Norlela itu turut mendapat sokongan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar) yang memahami masalah dihadapi wakil rakyat PKR itu. Jahara berkata, masalah banjir di Penanti berlaku sejak sekian lama dan masih gagal diatasi kerajaan negeri sehingga kini. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/97547
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger