Home » » Bina benteng tangani hakisan tebing sungai

Bina benteng tangani hakisan tebing sungai

Written By aku on Monday 16 November 2015 | 6:35 pm


KUALA BERANG - Masalah hakisan tebing sungai berhampiran jambatan Kampung Buluh, di sini, yang pasti berulang setiap kali musim tengkujuh, dijangka dapat diatasi melalui projek pembinaan benteng bernilai kira-kira RM480,000.

Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, projek dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu turut merangkumi baik pulih jalan, yang menampakkan kesan retakan akibat hakisan tebing sungai di situ.

“Sebelum ini pihak berkaitan telah mengambil tindakan, tetapi arus yang terlalu deras pada musim tengkujuh menyebabkan masalah sama berulang. Keadaan agak membimbangkan kerana begitu hampir dengan jalan dan sering dilalui penduduk.

“Melalui pembinaan benteng dan baik pulih jalan yang sudah pun siap bulan ini, kita harap ia mampu mengakhiri masalah hakisan tebing di situ yang turut menjadi tumpuan pemancing. Untuk jangka panjang, projek pembinaan ini dapat selamatkan jambatan Kampung Buluh yang terletak berdekatan kawasan hakisan,” katanya, di sini.

Sementara itu, Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri memaklumkan, terdapat dua taman perumahan dalam kawasan Dun Kuala Berang yang turut berdepan dengan masalah hakisan.

“Masalah di kawasan perumahan Taman Kirana dan Taman Jaya ini sudah dalam pengetahuan pihak berkaitan dan dibawa ke peringkat atasan.

"Untuk makluman, kerja baik pulih pasti memerlukan peruntukan dan kajian terlebih dahulu. Sebolehnya memang kita harap ia dapat disegerakan memandangkan lebih 10 keluarga berdepan berisiko. Malah, hakisan tebing sungai di Taman Jaya dan cerun di Taman Kirana ini dikhuatiri bertambah serius jika tengkujuh melanda,” katanya.

Sinar Harian pernah menyiarkan kebimbangan penduduk di kedua-dua taman perumahan itu yang menaruh harapan agak pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu demi keselamatan mereka.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger