Home » » Kecuaian antara punca bas langgar treler di LPT2

Kecuaian antara punca bas langgar treler di LPT2

Written By aku on Monday 16 November 2015 | 6:13 pm


KEMAMAN - Polis tidak menolak kemungkinan faktor kecuaian dan kemanusiaan antara punca kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dengan treler muatan kayu di Kilometer 292.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya akan melakukan ujian darah dan saringan air kencing ke atas pemandu bas persiaran yang merempuh belakang treler muatan kayu tersebut.

Katanya ujian terhadap pemandu yang berusia 41 tahun itu akan dilaksanakan sebaik beliau selesai menjalani rawatan di Hospital Kemaman ketika ini.

"Setakat ini, keterangan daripada pemandu, beberapa pelajar dan guru sudah diambil untuk membantu siasatan," katanya selepas melawat pemandu bas tersebut di hospital berkenaan malam tadi.


Awal pagi semalam, lima parah termasuk seorang pemandu bas selepas bas persiaran dua tingkat yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler yang sedang bergerak.  

Dalam insiden kira-kira pukul 2.15 pagi itu, bas berkenaan yang membawa 54 pelajar dan tujuh guru pengiring dari Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram Kuala Selangor dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Susulan rempuhan kuat itu, tiga pelajar terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemandu bas itu mengalami kecederaan pada bahagian perut dan kepala serta seorang lagi pelajar perempuan kini masih dirawat di Hospital Kemaman.

Beliau berkata siasatan merangkumi pelbagai aspek akan dilaksanakan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut.

Ini merupakan kes kedua kemalangan langgar belakang di laluan tersebut, sebelum ini, sebuah lori yang sarat dengan muatan roti dan kek terbalik selepas merempuh belakang sebuah lori lain.  - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger