Home » » JKM beri khidmat di rumah

JKM beri khidmat di rumah

Written By aku on Monday 16 November 2015 | 2:16 pm


DUNGUN - Usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bukan sekadar memastikan bantuan bulanan sampai kepada golongan yang layak, sebaliknya melangkaui peranan itu apabila khidmat sukarela turut diberikan sehingga ke rumah pelanggan.

Menerusi pelaksanaan Khidmat Bantu di Rumah (KBDR), golongan kurang bernasib baik khususnya warga emas dan OKU akan diberi bantuan secara percuma di rumah.

Sehubungan itu, bagi memberi kefahaman mengenai program sukarelawan itu, KBDR bersama pemimpin di anjurkan JKM Dungun di Kampung Tok Kah, di sini, baru-baru ini.

Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusoff  berkata, program itu dimulakan pada 2014 melibatkan seramai 22 pelanggan di daerah ini.

Menurutnya, menerusi program itu, seorang sukarelawan akan membantu pelanggan di rumah sekurang-kurangnya satu jam seminggu.

“Terdapat kira-kira 20 sukarelawan di daerah ini, manakala pelanggan pula terdiri daripada OKU dan warga emas berusia 60 tahun ke atas. Mereka akan membantu apa sahaja yang perlu termasuk menyuap makanan, mengemas rumah, membantu urusan penjaga dan sebagainya, bergantung kepada keadaan,” katanya.

Hadir sama, Penolong Pegawai Kanan Pembangunan Masyarakat, Wan Rosnah Wan Osman dan Ketua Kampung Tok Kah, Jasni Semail.

Menurut Mohd Naufal, secara objektifnya, KBDR bersama pemimpin memberi kefahaman mengenai peranan sukarelawan dalam memenuhi keperluan sosial dan emosi warga emas serta OKU.

Katanya lagi, ia juga bertujuan memberi bimbingan dan galakan agar dapat memberi sumbangan yang baik kepada kumpulan sasar, selain turut membuka peluang untuk bertukar idea dan pengalaman kepada sukarelawan

"Secara tidak langsung, ia dapat mengeratkan hubungan pemimpin dan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam menyokong penuh usaha JKM itu kerana mampu merasai denyut nadi rakyat.

“Melalui program ini, JKM lebih memahami kehendak pelanggan. Jika sebelum ini masyarakat yang mencari kemudahan, tetapi kali ini kemudahan disediakan secara terus.

“Sebenarnya bukan ini sahaja kemudahan disediakan kerajaan, sebaliknya ada banyak lagi, tetapi masyarakat tidak mengetahuinya. Usaha JKM ini wajar dipuji sekali gus membuktikan mereka berusaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger