Home » » Dua pacuan empat roda bertembung

Dua pacuan empat roda bertembung

Written By aku on Tuesday 3 November 2015 | 1:44 am


DUNGUN - Seorang peniaga, Nor Sham Md Saad, 36, maut, manakala seorang lagi mangsa parah dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kenderaan dipandu Nor Sham dipercayai hilang kawalan ketika tiba di selekoh Bukit Bauk, sebelum bertembung dengan sebuah lagi pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, pacuan empat roda dipandu mangsa, yang beralamat di Jalan Masjid Intan Zaharah, hilang kawalan dan terbabas.

“Selepas terbabas ke kanan jalan, kenderaan mangsa masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Toyota Hilux dipandu seorang mekanik (Mohd Alin Ya Omar, 24). Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa parah dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, ketika dirawat di ICU, Nor Sham gagal diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.40 petang," katanya.

Menurut Ahmad Zailani, pegawai perubatan mengesahkan kematian disebabkan kecederaan teruk di bahagian dalaman.

Katanya, jenazah mangsa sudah diserahkan kepada waris untuk urusan selanjutnya.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kegagalan mangsa mengawal kenderaan.

"Kejadian berlaku ketika keadaan jalan berselekoh, hujan renyai dan jalan licin. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger