Home » » Jangka lima peratus graduan jadi usahawan

Jangka lima peratus graduan jadi usahawan

Written By aku on Tuesday 3 November 2015 | 1:40 am


PUTRAJAYA - Sebanyak tiga hingga lima peratus daripada jumlah pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun dijangka menjadikan keusahawanan sebagai kerja pilihan menjelang 2020.
 
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata anggaran itu dibuat berdasarkan peningkatan ketara jumlah usahawan graduan setiap tahun sejak dasar pembangunan keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dilancarkan pada 2010.
 
"Dalam tempoh empat tahun ini, lebih 9,900 graduan telah menceburi bidang keusahawanan setelah tamat pengajian dengan pencapaian tertinggi sebanyak 3,016 direkodkan tahun lepas.
 
"Ia peningkatan ketara daripada hanya 2,060 sahaja pada 2011, bukti pendidikan keusahawanan telah memberi impak positif kepada landskap pendidikan tinggi negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional (MKPTN), di sini hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, Idris mengulangi bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak dapat digunakan bagi memasuki Universiti Awam (UA) kerana tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Beliau berkata kemasukan ke universiti awam perlu mengikut perkara yang termaktub atau selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan setiap perkara berkaitan dengannya hendaklah berlandaskan dasar tersebut.
 
"Oleh kerana itu UA tidak boleh menerima sijil UEC," katanya mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada Jumaat lepas bahawa kerajaan negeri akan mengiktiraf sijil UEC mulai tahun depan sebagai sebahagian daripada syarat untuk melanjutkan pengajian di Unisel. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger