Home » » Nik Abduh: DAP parti ‘panas’

Nik Abduh: DAP parti ‘panas’

Written By aku on Wednesday 4 November 2015 | 1:55 pm


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Pasir Mas) menyifatkan DAP sebagai parti ‘panas’ kerana sikap perwakilan parti itu yang terus mempersoalkan peranan Pas dalam pentadbiran di Selangor.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat Malaysia terbuka memilih mana-mana parti yang disukainya dan Pas sentiasa cool dalam menghadapi cabaran politik di negara ini.

“DAP merupakan sebuah parti yang panas, kalau rakyat Malaysia suka panas, dia pilih DAP, suka cool pilih Pas,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong dalam Konvensyen Tahunan Negeri Selangor DAP 2015 semalam yang memberi kata dua kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali untuk memecat wakil rakyat Pas dari pentadbirannya.

Perwakilan DAP berkata, jika Mohamed Azmin enggan berbuat demikian, DAP sendiri akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.

Nik Mohamad Abduh juga berkata, pendirian Pas berkecuali dari tindakan Pakatan Harapan yang tidak mahu menyokong Bajet 2016 dan usul tidak percaya merupakan satu tindakan yang beretika.

“Ya, sikap berkecuali (tidak sokong Belanjawan 2016 dan usul tidak percaya PM) tindakan Pas itu memang beretika,” ujarnya.

Ditanya tentang sikap Pas terhadap undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya, parti Islam itu konsisten untuk menyokong usul tersebut.

“Tiada flip flop. Itu ketegasan kita berkenaan politik di Malaysia ini, kita tengok dulu (usul undi tak percaya), Presiden Pas sudah sebut, sekarang ini undi tidak percaya ini tidak tahu ke mana lagi. Jadi kita jawab lepas ini.

“Kita tegas dan tidak berundur untuk membawa politik matang dalam politik Malaysia hari ini,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger