Home » » JPAM tempatkan anggota paramedik di LPT2

JPAM tempatkan anggota paramedik di LPT2

Written By aku on Wednesday 4 November 2015 | 7:57 pm


DUNGUN - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu telah menempatkan pasukan paramedik di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sejak 1 November lalu bagi memberikan bantuan awal kepada sebarang bentuk kecemasan yang berlaku di lebuh raya tersebut.

Pengarahnya Left Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, langkah itu dilaksanakan bagi menyahut seruan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bagi membantu secara agresif mangsa kemalangan dan kecemasan di laluan berkenaan.

Beliau berkata, buat permulaan, petugas paramedik hanya ditempatkan di dua daerah di sepanjang laluan tersebut iaitu Dungun dan Kemaman.

"Pasukan petugas yang terdiri daripada lima anggota akan dibahagikan kepada dua syif bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang dan 4 petang hingga 11.59 malam," katanya kepada Bernama di sini.

Che Adam berkata, petugas yang mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam paramedik itu akan memberikan respons awal sekiranya berlaku kes kemalangan dan mereka turut dilengkapi dengan sebuah ambulans bagi memudahkan operasi menyelamat.

"Pasukan ini ditempatkan secara statik di susur keluar Tol Chukai-Air Putih bagi daerah Kemaman dan orang ramai boleh menghubungi talian 0111-3214103 jika berlaku kemalangan," katanya.

Beliau berkata bagi daerah Dungun pula, anggota ditempatkan di susur keluar Bukit Besi dan pengguna lebuh raya boleh menghubungi 0111-3214303 sekiranya mengalami kesulitan. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger