Home » » Salleh Man perlu berlaku adil kepada parti Islam

Salleh Man perlu berlaku adil kepada parti Islam

Written By aku on Wednesday 4 November 2015 | 6:00 am


GEORGETOWN - Adun tunggal Pas di Pulau Pinang, Datuk Salleh Man Mat Aji dinasihati tidak membelakangkan parti itu walaupun menyatakan sokongannya terhadap Kerajaan Pulau Pinang.

Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, selepas dihubungi pelbagai pihak termasuk ahli Pas, pihaknya mengambil keputusan berjumpa dengan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu bagi mendapatkan penjelasan.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, parti menerima pengakuan dan penjelasan yang dibuat Salleh Man berhubung kenyataannya itu.

Menurutnya, dalam perjumpaan itu, Salleh Man menjelaskan bahawa kenyataan kelmarin adalah berdasarkan jawatannya sebagai YDP MAINPP iaitu sebahagian dari Kerajaan Pulau Pinang dan  Dia perlu berkhidmat untuk rakyat.

“Sama juga seperti Pas, kita berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik. Dia masih ahli Pas dan akan terus dengan Pas, tidak akan berbelah bagi.

"Dia juga menyatakan bahawa selagi memegang jawatan sebagai YDP MAINPP, dia akan tetap bersama Kerajaan Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sehubungan itu, Iszuree menasihati supaya Salleh Man bersikap adil dengan parti Islam itu.

“Selagi dia dalam parti, kita akan terus bagi sokongan dan dorongan. Namun, kita nasihatinya agar tidak buat keputusan yang membelakangkan parti. Apa juga keputusan, perlu merujuk kepada parti terlebih dahulu.

“Kita juga ada menasihati dia supaya bersikap adil dengan parti. Jika menghadiri program anjuran Kerajaan Pulau Pinang, dia juga perlu hadir majlis anjuran parti. Jangan nampak ada pilih kasih. Dia juga tidak dihalang untuk menjalankan tugasnya sebagai Adun,” katanya.

Iszuree turut meminta agar semua ahli Pas bertenang dan tidak membuat sebarang persepsi negatif yang boleh memburukkan keadaan.

“Saya minta semua ahli tidak melenting kerana setiap penjelasan perlu diperolehi dari Pas negeri terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan persepsi negatif selain memperolehi penjelasan yang sebenar.

“Pas negeri menerima semua penjelasan beliau dan saya akan bawa (penjelasan) kepada mesyuarat Pas negeri seterusnya akan dipanjangkan kepada Pas Pusat,” katanya.

Kelmarin, dalam satu sidang media bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Salleh Man menyatakan akan terus menyokong Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

Beliau juga menyokong dan akan terus membela Guan Eng atas semangat kerjasama dalam pakatan itu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger