Home » » Terengganu Siap Sedia 521 Pusat Pemindahan Banjir

Terengganu Siap Sedia 521 Pusat Pemindahan Banjir

Written By aku on Wednesday 4 November 2015 | 6:05 am


521 pusat pemindahan dan 162 pengkalan hadapan di seluruh Terengganu yang boleh memuatkan 122,552 mangsa banjir telah digazetkan bagi kemudahan mereka jika musibah tersebut melanda.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda berkata persediaan rapi telah dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana banjir ketika musim Monsun Timur Laut bagi tahun 2015/2016.

“Semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di negeri ini telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi bencana banjir bagi tahun 2015/2016 meliputi kekuatan anggota di barisan hadapan dan sokongan, kelengkapan logistik, kenderaan, bekalan makanan dan keperluan harian.

“Selain dari 10,000 ahli skuad sukarelawan TTB, sehingga hari ini seramai 4,482 anggota dari enam jabatan serta agensi kerajaan dengan 332 kekuatan aset darat dan air telah dikenalpasti dan akan digerakkan bagi seluruh negeri ini sepanjang musim Monsun Timur Laut,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu, Badrul Shah Mohd Idris dan Pengarah JPAM Terengganu, Lt. Kol. (PA) Che Adam A. Rahman.

Osman yang juga Pengerusi JPBN berkata pada cuti di setiap jabatan akan dibekukan bagi membantu mangsa banjir.

“Apabila diistiharkan ada bilik gerakan dibuka, maka ketua-ketua jabatan akan diarahkan membekukan cuti kepada kakitangan mereka bagi membantu dalam operasi banjir,” katanya.

Tambahnya, JPBN Terengganu juga telah memutuskan bahawa tanggungjawab pengurusan bencana negeri yang sebelum ini dikendalikan oleh MKN Negeri Terengganu diserahkan kepada JPAM Terengganu.

“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Ogos lalu yang telah memutuskan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana MEnteri bagi pengendalioan pengurusan bencana negara dan JPAM akan bertindak sebagai sekretariat pengurusan bencana peringkat negeri dan daerah.

“Peralihan tanggungjawab ini juga merupakan salah satu langkah penambahbaikan pengurusan bencana di negeri dan selaras dengan aspirasi pengurusan bencana negara,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger