Home » » Sidang Kemuncak Asean 2015 : Isu tarif tumpuan perbincangan

Sidang Kemuncak Asean 2015 : Isu tarif tumpuan perbincangan

Written By aku on Saturday 21 November 2015 | 3:24 am


KUALA LUMPUR: Persetujuan bersama dalam integrasi pelaburan dan isu tarif serta bukan tarif dalam kalangan negara ASEAN akan merancakkan kegiatan perdagangan hingga mencapai kejayaan cemerlang menjelang tahun 2025.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata isu berkaitan tarif dan bukan tarif yang masih belum selesai ketika ini, akan terus menjadi tumpuan perbincangan negara anggota, sekali gus mencapai persetujuan secepat mungkin bagi memastikan kelancaran pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Malah, penyelesaian dalam isu berkenaan juga, akan menjamin kemapanan pembangunan rantau ini pada masa depan. “Secara keseluruhan, kami (negara anggota ASEAN) teruja untuk bekerjasama. Terdapat banyak keserasian dan sinergi dalam kalangan negara ASEAN dan ia membantu kami untuk melangkah ke hadapan untuk mencapai perdagangan dan pelaburan antara ASEAN.
“Tahun 2015 adalah tahun terbaik bagi ASEAN. Wujud banyak sinegri, tenaga, dinamik dan keserasian dalam kalangan Menteri Ekonomi ASEAN dan sektor swasta dalam melancarkan pembentukan AEC,” katanya pada panel khas bersama Menteri Ekonomi ASEAN pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015 di sini, hari ini.
Mengenai kelestarian pembangunan ASEAN, Mustapa berkata, keterangkuman, integrasi penduduk luar bandar dengan pembangunan dan pembangunan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah antara keutamaan yang perlu ditumpukan bagi menjamin kelestarian pembangunan rantau itu pada masa depan.
Beliau berkata, maksud kelestarian pembangunan bukan saja terhad kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar saja, tetapi ia lebih meluas merangkumi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat sejajar dengan dasar kelestarian yang mahu dicapai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, kelestarian pembangunan juga amat berkait rapat dengan pengukuhan agenda memacu pertumbuhan PKS yang mana komuniti perniagaan itu adalah tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
“Bagi ASEAN, adalah penting untuk menyelesaikan isu yang berkait dengan isu keterangkuman, integrasi penduduk luar bandar dengan pembangunan dan pembangunan PKS,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger