Home » » ‘Terubat rindu pada rakan’

‘Terubat rindu pada rakan’

Written By aku on Saturday 14 November 2015 | 1:07 pm


KUBANG RAMBUTAN – Sakit tua, lumpuh dan keuzuran sedikit terubat apabila 500 ahli serta pemimpin Umno Rantau Panjang menziarahi seramai 85 warga emas di seluruh kawasan Dun Gual Periok, semalam.

Warga emas, Mok Su Tahir, 97, dari Kampung Kubang Rambutan berkata, dia yang buta sejak empat tahun lalu, tidak menyangka akan menerima kunjungan daripada anggota sukarela dan ahli Umno.

Menurutnya, mereka bukan sahaja menyampaikan bantuan makanan dan tilam, malah turut menguruskan tahap kebersihan dirinya .

“Walaupun saya tak mampu melihat, tapi saya gembira kerana mampu lihat kebaikan mereka dengan ‘mata hati’,” katanya.

Sementara itu, warga emas di Kampung Banggol Chekur, Limah Awang, 80, berkata, dia yang lumpuh tidak mampu menziarahi rakan sekampung sejak 10 tahun lalu.

“Kehadiran mereka mengubat kerinduan pada rakan dan penduduk di kampung ini. Saya harap mereka akan mengadakan program seumpama ini dengan lebih kerap,” katanya.

Menurut seorang lagi warga emas di Kampung Bakat, Mustapa Ahmad, 75, kehadiran ahli dan pemimpin Umno kali ini membuktikan mereka tidak pernah meminggirkan golongan veteran Umno.

Katanya yang juga bekas ketua cawangan Umno, dia juga tidak pernah ragu dengan Umno Rantau Panjang kerana perjuangan mereka adalah ikhlas untuk rakyat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Rantau Panjang, Ghazali Ismail berkata, menerusi program itu, mereka bukan sahaja menziarahi warga emas dan pesakit kronik, tetapi turut menyampaikan hamper makanan serta tilam kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, program itu turut disertai Penggerak Masyarakat, kakitangan Kemas, Kelab The Red Warriors Rantau Panjang dan banyak lagi, yang bergotong-royong membersihkan rumah serta menguruskan kebersihan warga emas terlibat.

“Program sama akan diteruskan minggu depan melibatkan hampir 300 warga emas dan pesakit kronik di kawasan Dun Meranti dan Bukit Tuku.

“Kami juga akan kekal aktif sebagai Sukarelawan Bencana Banjir, malah tugasan juga meliputi skop sama di setiap Dun masing-masing,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger