Home » » Bandar Baharu Jabi Bakal Siap Dua Tahun Lagi

Bandar Baharu Jabi Bakal Siap Dua Tahun Lagi

Written By aku on Sunday 15 November 2015 | 12:52 pm


Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bakal menikmati kemudahan awam yang lebih selesa dan kondusif dengan membangunnya pusat pertumbuhan desa atau dikenali sebagai Bandar Baharu Jabi di kawasan seluas lapan hektar, terletak di Jabi Utara, dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Pusat pembangunan bersepadu yang bermula dari Kampung Renek hingga sempadan Jertih yang menelan belanja kira-kira RM25 juta dibangunkan dengan infrastruktur dan pusat komersial menerusi kerjasama Majlis Daerah Besut (MPB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Iskandar Jaafar, berkata penyusunan semula prasarana di kawasan itu mampu melonjak ekonomi penduduk tempatan berikutan wujudnya perkedaian yang tersusun dengan dilengkapi kemudahan lain seperti bank mini, pejabat pos, balai raya, pusat rekreasi, dewan serta dataran awam.

“Infrastruktur awam yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM25 juta termasuk kos pengambilan balik tanah itu mampu mengurangkan beban dan melancarkan urusan seharian penduduk tempatan yang sebelum ini terpaksa ke Bandar Jertih dan Permaisuri bagi menyelesaikan pelbagai urusan rasmi,”katanya kepada teganukita.my ketika ditemui di Pejabat DUN Jabi, baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Iskandar lagi, di kawasan 64 hektar terletak Kampung Tempinis pula bakal dibangunkan 250 unit rumah mampu milik yang bernilai bawah RM80,000 seunit, menerusi kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Katanya, kemudahan perumahan itu bagi memenuhi keperluan generasi kedua dan ketiga yang sangat memerlukan kediaman yang selesa dan serba lengkap.

Selain itu, Pekan Jabi  juga bakal menjadi hab sate di Terengganu apabila gabungan enam pengusaha utama makanan itu dihimpunkan di bawah satu jenama `Sate Jabi’, selain mengekalkan nama pengusaha asalnya `Sate Mastura,  Lanang, Ala Kajang, Suria, Kak Mah dan Kak Yah’, menerusi kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT).

“Usaha merealisasikan hasrat pengusaha makanan popular  di Terengganu Utara  itu hampir menjadi kenyataan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menerusi industri  hiliran seperti penternak ayam, bahan mentah , peralatan dan pekerja am bagi memajukan perusahaan itu.

“Pengusaha Sate Jabi disasarkan akan bertambah dari semasa ke semasa dengan menambahbaik perkhidmatan, menjaga imej, kebersihan, harga serta kualiti, selain mampu menjadi pembekal utama di calet, resort, hotel dan pengusaha makanan lain,”katanya.

Menurutnya, YPUT juga menyelaraskan penjenamaan itu menerusi mercu tanda baharu `Sate Jabi’ di laluan masuk dari Setiu dan juga Besut, selain memasang papan tanda baharu yang lebih ikonik di setiap pusat perusahaan makanan itu sebagai tarikan kepada pengunjung.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger