Home » » 1,700 nelayan tradisional terima elaun sara diri

1,700 nelayan tradisional terima elaun sara diri

Written By aku on Thursday 3 December 2015 | 4:03 pm


PASIR PUTEH - Kira-kira 1,700 nelayan tradisional di negeri ini akan menerima elaun sara hidup untuk Nov lepas, pada 15 Disember ini.  

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Abdullah Ismail berkata, bayaran elaun bulanan melibatkan peruntukan kira-kira RM500,000 itu diharap dapat meringankan beban mereka untuk menghadapi musim tengkujuh berikutan tidak boleh turun ke laut akibat laut bergelora.  

"Mereka terdiri daripada nelayan di Jajahan Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.  

Abdullah berkata nelayan yang memiliki lesen bot Zon A akan menerima elaun sebanyak RM300 manakala bagi bot Zon B dan C masing-masing akan menerima RM250 yang akan dibayar menerusi akaun bank masing-masing atau secara tunai.  

Beliau berkata mereka juga digalakkan mencari pekerjaan alternatif bagi menambah pendapatan sepanjang tempoh tidak dapat ke laut.

"Ini termasuk bercucuk tanam, menternak lembu, kambing dan biri-biri serta menjual makanan yang berasaskan ikan seperti keropok dan ikan kering yang mendapat pasaran baik pada musim tengkujuh ini," katanya.  

Beliau turut menasihati nelayan agar sentiasa mematuhi amaran cuaca dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.  

Katanya LKIM mendapati masih terdapat nelayan tradisonal yang ke laut walaupun amaran bahaya dikeluarkan oleh jabatan itu. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger