Home » » Cari Alternatif Jana Hasil Negeri – ADUN Air Putih

Cari Alternatif Jana Hasil Negeri – ADUN Air Putih

Written By aku on Thursday 3 December 2015 | 2:21 pm


Terengganu perlu memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan negeri berasaskan ekonomi perkhidmatan berbanding ekonomi berasaskan petroleum dan gas ketika ini berikutan keadaan semasa industri minyak global yang merudum. 

Ini berikutan pembentangan bajet 2016 kerajaan negeri yang merangkumi RM 2.103 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus yang merupakan kemerosotan dari RM 2.4 bilion kepada RM 2.02 bilion yang mana ia merupakan bajet defisit. 

Perkara itu dilontarkan Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (BN-Air Putih) yang bimbang dengan senario ekonomi global yang suram berikutan kejatuhan mata wang negara dan kebergantungan Terengganu terhadap dana khas petroleum dari kerajaan pusat. 

“Pengurangan pendapatan kerajaan negeri pada tahun hadapan adalah agak signifikan kerana sebelum ini untuk tahun 2013 dan 2014, hasil sebenar yang diperolehi oleh kerajaan adalah cukup besar iaitu RM2.9 bilion untuk tahun 2013 dan ia berkurang kepada RM2.6 bilion untuk 2014. 

“Ini bermakna kerajaan negeri kehilangan hampir RM600 juta pendapatan dari tahun-tahun sebelum ini,” katanya pada perbahasan bajet negeri 2016 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam.  

Justeru bagi mengatasi masalah tersebut, beliau menyarankan agar kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan fokus perlu diberi kepada usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan pengurusan perbelanjaan awam yang cekap lagi berhemah. 

“Kini kejatuhan harga minyak sudah mula menampakkan kesan kepada pendapatan negeri. Mujur ia tidak begitu drastik kerana ‘dibuffer’ oleh kenaikan harga mata wang Dollar Amerika berbanding Ringgit Malaysia. 

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri harus menerima hakikat bahawa ini adalah “kebiasaan baru” dan perlu mengurus pentadbiran negeri dengan realiti semasa. 

“Sebagai contoh, bayaran emolumen atau gaji pegawai awam di Terengganu sahaja telah mencecah RM267 juta dan sekiranya ditolak dana khas, kerajaan negeri tidak berupaya melunaskan emolumen ini berdasarkan hasil cukai dan bukan cukai sedia ada iaitu hanya sebanyak RM239 juta. Ini tidak termasuk pemberian tetap, perkhidmatan dan bekalan. 

“Sehubungan itu adalah perlu satu pendekatan khusus diberikan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini dengan memberi sasaran yang jelas kepada beberapa indikator yang penting seperti keuntungan, pulangan dividen dan sebagainya. 

Menurutnya sudah sampai masa GLC di negeri ini mula mengorak langkah merencana pelan yang jitu dengan mengembang perniagaan ke peringkat antarabangsa terutama di dalam bidang gas dan minyak, komoditi, perkhidmatan serta pembangunan hartanah sepertimana kejayaan anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM Berhad, Epic dan Golden Pharos Berhad.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger