Permintaan tinggi lukisan mural
Written By aku on Tuesday, 8 December 2015 | 12:20 pm
KUALA BESUT - Usaha menjadikan Kuala Besut sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa sebagaimana yang direncanakan Ahli Parlimen Besut dan Adun Kuala Besut semakin menjadi realiti.
Pelbagai usaha dilaksanakan oleh kepimpinan daerah Besut disokong pelbagai agensi lain telah kini semakin menampakkan hasil tidak lama lagi, sekaligus impian menjadikan Kuala Besut pintu masuk pelancong peringkat dunia direalisasikan.
Program Seni Jalanan Kuala Besut atau Kuala Besut Street Art yang disempurnakan 51 orang membabitkan tenaga pengajar dan pelajar jurusan Animasi 3D dan Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekanikal Kolej Komuniti Besut menjadi nilai tambah tarikan di Kuala Besut.
Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, usaha Kolej Komuniti Besut menyiapkan lukisan mural pada dinding lama di pekan lama Kuala Besut sangat membantu dalam usaha memperkenalkan Besut sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa, terutama untuk pelancong yang mahu ke Pulau Perhentian.
Menurutnya, pada fasa pertama, sebanyak 11 dinding bangunan di pekan tersebut telah dihiasi dengan lukisan mural menarik dan merupakan yang pekan pertama di negeri ini dihiasi dengan lukisan pada banyak dinding bangunan.
“Kita berhasrat menjadikan pekan Kuala Besut sebagai pekan mural di Terengganu sekaligus menjadi nilai tambah tarikan untuk pelancong tempatan dan luar negara di sini,” katanya.
Impak positif kepada pelancong
Menurutnya, pihaknya akan berbincang dengan Kolej Komuniti Besut untuk melaksanakan program sama fasa kedua di sini.
Menurutnya, projek yang dilaksanakan atas daya usaha Ahli Parlimen Besut yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh itu merupakan satu impak positif kepada pelancongan bukan sahaja di Kuala Besut malah daerah Besut dan Terengganu.
Beliau turut menerima maklum malas positif daripada masyarakat setempat, pelancong tempatan dan antarabangsa setelah mereka melihat beberapa lukisan daripada 11 dinding bangunan.
Menurutnya, keindahan dan kesenian berasaskan objek produk setempat dan hidupan laut Pulau Perhentian diterjemahkan dalam bentuk lukisan mural secara interaktif di dinding bangunan.
“Pemilik bangunan memberi kerjasama baik apabila membenarkan dinding bangunan mereka dihias sebegitu rupa.
“Malahan lukisan mural seperti itu mendapat permintaan tinggi pemilik bangunan di kawasan Kuala Besut yang berjumpa saya minta dilukis pada dinding premis mereka,” katanya.
Tengku Zaihan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kolej Komuniti Besut untuk melaksanakan fasa kedua program Kuala Besut Street Art di Kuala Besut.
Menurutnya, beliau turut mendapat cadangan supaya lukisan mural turut dilakukan dihias di lantai dan dinding jeti Kuala Besut yang merupakan pintu masuk ke Pulau Perhentian yang merupakan pintu masuk utama ke pulau ke 13 tercantik di dunia.
“Ia turut menjadi tarikan untuk orang ramai bergambar atau 'selfie' berlatarbelakangkan lukisan mural tersebut dan selepas ini kita bercadang untuk mengumpulkan lebih golongan muda yang mahir dan berminat untuk sama-sama menyumbang kreativiti dan diabadikan pada dinding bangunan di sekitar Kuala Besut,” katanya mengenai program yang turut mendapat kerjasama JKKK Pekan Lama Kuala Besut itu.
Selain lukisan tersebut, pembinaan pemecah ombak Kuala Besut yang diluluskan kerajaan pusat ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut lalu yang dijangka akan bermula pada tahun depan juga bakal menjadi asas utama menjadikan Kuala Besut Gerbang Pelancongan antarabangsa.
Tengku Zaihan berkata, beberapa projek pembangunan bertaraf antarabangsa akan dibangunkan di sepanjang projek yang bernilai lebih RM250 juta itu.
Labels:
Semasa