Home » » RM1 Juta Bantu 10 Sekolah Cina Di Terengganu

RM1 Juta Bantu 10 Sekolah Cina Di Terengganu

Written By aku on Saturday 26 December 2015 | 1:16 pm


Peruntukan sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada 10 buah sekolah jenis kebangsaan Cina di Terengganu sebagai perbelanjaan pengurusan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata peruntukan tersebut diberi dalam pelbagai jumlah dan ia boleh digunakan sehingga tahun hadapan.

“Peruntukan khas ini bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan penyelenggaraan. Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada warga sekolah Cina yang merupakan golongan minoriti di negeri ini serta menunjukkan bahawa mereka tidak diabaikan dalam aspek pendidikan.

“Peruntukan ini boleh digunakan sehingga tahun depan untuk kebaikan bersama guru dan pelajar di sekolah berkenaan,” katanya semalam.

Menurut Shafruddin, penyampaian cek wang bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi MCA Terengganu, Dato’ Toh Chin Yaw kepada semua Pengetua dan Guru Besar sekolah berkenaan dalam satu majlis yang diadakan pada 23 Disember lalu.

Daripada jumlah tersebut, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Wei Sin menerima RM300,000; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin (RM200,000); SJKC Chukai, Kemaman (RM130,000); dan SJKC Chung Hwa, Besut (RM80,000).

Sementara itu SJKC Kwang Hwa, Dungun (RM75,000); SMJK Wakaf Tapai, Marang dan SJKC Chee Mong, Dungun, masing-masing RM55,000; SJKC Sin Chone, Dungun (RM40,000); SJKC Lok Khoon, Kemaman (RM35,000) dan SJKC Jabor, Kemaman (RM30,000).
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger