Home » » Tak mengaku edar dadah

Tak mengaku edar dadah

Written By aku on Thursday 3 December 2015 | 12:57 pm


KOTA BHARU - Seorang pemandu sebuah institusi pendidikan awam berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke mahkamah tinggi, di sini, semalam, atas tuduhan mengedar dadah, April lalu.

Tertuduh, Mohd Saiful Bahri Abdul Sukor, 38, didakwa mengedar 305.1 gram dadah jenis kanabis di sebuah rumah beralamat di Taman MGU Ketereh, di sini, pada jam 12.30 pagi, 16 April 2015. Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati mandatori, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan, sebaliknya tertuduh mengemukakan representasi bagi memohon pindaan daripada tuduhan berat itu kepada yang lebih ringan.

Peguamnya, Datuk Syukri Mohamed memberitahu mahkamah bahawa dokumen representasi berkenaan sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nooriah Osman, kelmarin.

Representasi itu bertujuan memohon tuduhan asal dipinda kepada Seksyen 6 ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan bagi seksyen itu adalah penjara minimum  5 tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat minimum 10 kali.

Nooriah turut mengesahkan beliau menerima representasi tersebut dan memohon satu tarikh penangguhan bagi meneliti permohonan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 18 dan 19 Januari depan.

Kes dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Bache.

 Tertuduh akan ditahan di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, sehingga prosiding tahun depan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger