Jalan ghaib dibadai ombak
Written By aku on Wednesday, 27 January 2016 | 1:09 pm
KUALA BESUT - Jalan menghubungkan Kampung Pangkalan Atap ke Pachakan di sini, ghaib dibadai ombak dalam fenomena air pasang besar di sepanjang Pantai Kuala Besut, malam kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Suhaimi Awang berkata, ombak besar membadai pesisir pantai Kampung Pangkalan Atap menyebabkan sebahagian jalan di situ pecah dan runtuh dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu.
Menurutnya, fenomena air pasang besar berserta angin kencang itu bermula sekitar jam 4 petang dan semakin mengganas pada sebelah malam hingga awal pagi.
“Jalan itu rosak teruk sepanjang kira-kira 100 meter hingga tidak boleh dilalui semua kenderaan. Sebahagian jalan mendap, sebatang pokok rhu berhampiran juga tumbang,” katanya.
Suhaimi berkata, kejadian air pasang besar itu juga menyebabkan air laut melimpah sehingga ke jalan di Kampung Pantai, namun tiada penduduk dipindahkan.
“JPAM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis sentiasa memantau lokasi kejadian sehingga awal pagi untuk memastikan keselamatan penduduk.
“Malam ini (malam tadi) fenomena ini dijangka lebih teruk, jadi kami sentiasa bersiap sedia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Zailani Abdullah berkata, di Kampung Tengah, sebuah rumah penduduk rosak akibat dihempap pokok kelapa tumbang dalam kejadian malam kelmarin.
Menurutnya, bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan kerosakan besar, dan penghuni rumah yang merupakan warganegara Thailand tidak mengalami kecederaan.
Bagi peniaga kedai makan, Suhaimi Ghulam Rasool, 40, dia dan keluarganya lebih awal berpindah ke penempatan baru di Rumah Pangsa Ar Rahman di Tok Saboh kerana bimbang risiko fenomena air pasang besar itu.
“Kalau belum pindah, mesti kena pindah juga malam semalam. Keadaan angin dan ombak kali ini agak besar berbanding beberapa tahun sebelum ini,” katanya yang terpaksa membuang pasir yang memenuhi kawasan kedai makan yang diusahakannya.
Dalam pada itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan di sepanjang pantai di Dun tersebut dan menasihatkan penduduk berpindah jika keadaan berbahaya.
“Tentang jalan rosak, kita akan usahakan untuk baiki selepas keadaan pulih. Kami turut memastikan kebajikan penduduk sentiasa diutamakan,” katanya.
Fenomena sama dilaporkan berlaku di sepanjang Pantai Beting Lintang hingga ke Pangkalan Gelap, Gong Batu Setiu menyebabkan banyak sangkar ikan di kawasan tersebut rosak.
Labels:
Semasa