Home » » MAIDAM Sumbang RM1 Juta Bina Pusat Hemodialisis Hospital Besut

MAIDAM Sumbang RM1 Juta Bina Pusat Hemodialisis Hospital Besut

Written By aku on Wednesday 27 January 2016 | 12:16 pm


Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyumbangkan lebih RM1 juta bagi membina Pusat Hemodialisis milik usahasama MAIDAM- Hospital Besut yang mula menawarkan perkhidmatan pada Mei tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pahemi Yusof, berkata sumbangan yang disalurkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu untuk kerja-kerja mengubahsuai, menambah struktur bangunan, pembelian kelengkapan perubatan dan ubat-ubatan.

Katanya, pusat yang mempunyai lapan mesin hemodialisis itu boleh menampung keperluan maksima sehingga 42 pesakit bagi tiga peringkat masa atau 14 pesakit untuk setiap sesi.

“Berdasarkan rekod, terdapat 28 pesakit sedang menerima rawatan di pusat itu, manakala 23 pesakit lagi berada dalam senarai menunggu.

“Kadar kadar bayaran yang dikenakan hanya RM 13 seorang, jika mempunyai surat jaminan atau pesara kerajaan, perkhidmatan yang ditawarkan adalah percuma,”katanya.

Menurutnya, berlainan harga sekiranya mendapat rawatan di klinik swasta pastinya dikenakan RM150 hingga RM200 setiap kali dialisis, sekiranya harga RM200, kadar bulanan sudah tentu RM2,400 berbanding RM156 sebulan di pusat dialisis milik kerajaan.

“Pusat itu diwujudkan sebagai tambahan kepada kemudahan serupa di Hospital Besut yang tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

“Pendekatan itu cukup bermakna bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, di samping mengurangkan bebanan kewangan mereka dan keluarga,”katanya.

Muhammad Pehemi berkata, sebuah lagi pusat rawatan diwujudkan di RTC Ketengah, Dungun dengan mempunyai kapasiti enam mesin rawatan.

“Kerajaan mensasarkan agar pusat hemodialisis diwujudkan setiap daerah termasuk di Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu yang diwujudkan sama ada membabitkan kerajaan negeri mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan.

“Masyarakat di Terengganu di saran melakukan pencegahan awal dengan memastikan kesihatan dijaga dengan baik terutamanya kepada penghidap darah tinggi dan kencing manis,”katanya kepada teganukita.

Penghidap diabetes iaitu kencing manis, darah tinggi dikenal pasti penyumbang tertinggi kepada punca peningkatan penyakit buah pinggang di negeri ini selain punca lain seperti masalah batu karang, pengambilan ubat-ubatan tidak terkawal dan beberapa faktor lain.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger