Home » » Melaka tarik balik kebenaran jual vape

Melaka tarik balik kebenaran jual vape

Written By aku on Tuesday 5 January 2016 | 7:41 am


SUNGAI UDANG - Kurang sebulan selepas membenarkan rokok elektronik atau vape dijual di negeri ini, kerajaan negeri memutuskan untuk mengharamkan penjualannya.

Bagaimanapun, penguatkuasaan pengharaman ini dijangka hanya akan dijalankan selepas mengadakan perbincangan dengan peniaga vape serta mengenalpasti bilangan peniaga di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris  Haron berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengharamkan vape selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa penggunaannya dalam kalangan orang Islam adalah haram.

Selain itu, katanya, keputusan itu  juga ekoran perbincangan mengenai isu penggunaan vape oleh satu jawatankuasa  perbincangan mengenai fatwa berkenaan yang diwujudkan kerajaan negeri.

"Tarikh penguatkuasaan (pengharaman) akan diumumkan selepas  kerajaan negeri mendapatkan maklumat berapa ramai peniaga vape di negeri ini, selain mengadakan perbincangan dengan mereka.

"Isu ini akan dibincang dengan lebih lanjut selepas kita mendengar laporan penuh dari Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar (Datuk Ismail Othman) semasa mesyuarat mingguan Exco Rabu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada  media selepas meninjau keadaan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini hari ini.

Menurut Idris, pengusaha serta peniaga vape, terutama mereka yang telah memperoleh lesen dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menjalankan perniagaan mereka, akan dibantu kerajaan ekoran pengharaman berkenaan.

Dalam aspek ini, katanya, kerajaan negeri akan membantu mereka mengenal pasti bidang perniagaan lain yang boleh mereka ceburi selepas penjualan vape diharamkan.

"Kita akan cuba bantu mereka, terutama dalam mengenal pasti bidang perniagaan lain yang boleh mereka ceburi," katanya.

Bulan lalu, kerajaan negeri mengumumkan bahawa MBMB telah mengeluarkan sebanyak 20 lesen perniagaan kepada peniaga vape di negeri ini.

Bagaimanapun, keputusan kerajaan negeri itu kemudiannya dipersoalkan ekoran kenyataan Mufti Melaka, Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah memutuskan penggunaan vape sebagai haram semasa bersidang pada 10 Disember lalu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger