Home » » Tedung selar sebalik baldi

Tedung selar sebalik baldi

Written By aku on Thursday 14 January 2016 | 12:26 pm


JERTIH -  Seorang pelajar lelaki tingkatan satu nyaris dipatuk ular tedung selar yang bersembunyi di bilik air rumah datuknya di Kampung Pangkalan Sentul, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku ketika remaja berkenaan masuk ke dalam bilik air untuk mandi sebelum terkejut melihat ular berbisa sebesar lengan dewasa itu yang sedang bersembunyi.

Datuk mangsa, Alias Kassim, 67, berkata, cucunya telah melangkah bahagian ekor ular tersebut sebaik memasuki bilik air itu sebelum menyedari ada ular sedang bersembunyi di sebalik baldi dan memberitahunya.

Menurutnya, dia bersyukur tiada apa berlaku terhadap cucunya dan menganggap remaja 13 tahun itu bernasib baik kerana tidak memijak ekor ular tersebut.

“Pakcik tak tahu apa jadi kalau dia terpijak ekor ular itu,” katanya.

Alias berkata, apabila  memeriksa bilik air itu, dia mengenal pasti spesies ular itu adalah tedung selar berdasarkan warnanya.

“Pakcik cari penduduk kampung yang mahir tangkap ular, tapi dia tak ada di rumah. Jadi pakcik minta cucu hubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Besut, Suhaimi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.45 malam memaklumkan seekor ular berada di dalam rumah di Kampung Pangkalan Sentul kira-kira dua kilometer daripada bandar Jertih.

Menurutnya, seramai dua anggota dihantar ke tempat kejadian dan mendapati reptilia berbisa itu masih berada di dalam bilik air rumah tersebut.

“Anggota kami ambil masa hampir setengah jam untuk menangkap ular sepanjang hampir empat meter itu kira-kira jam 8.20 malam.

“Meskipun anggota sudah biasa menangkap ular berbisa, mereka perlu sentiasa berhati-hati kerana sekiranya tersilap langkap boleh mengundang maut,” katanya.

Suhaimi berkata lagi, ular tedung selar itu yang terbesar ditangkap setakat mula tahun ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar jangan bertindak sendiri, sebaliknya terus menghubungi JPAM sekiranya berhadapan spesies reptilia itu kerana ia boleh mengundang padah.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger