Home » » Terengganu sedia RM1 juta pinjaman pelajar luar negara

Terengganu sedia RM1 juta pinjaman pelajar luar negara

Written By aku on Wednesday 13 January 2016 | 8:45 am


KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pinjaman kepada pelajar-pelajar di seberang laut yang tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan akan memberikan pinjaman sebanyak RM10,000 untuk seorang pelajar yang memerlukan bantuan tersebut.

"Perkara ini saya akan maklumkan kepada pelajar-pealjar di Jordan dan Mesir apabila saya melawat dan menyampaikan bantuan kepada mereka minggu depan," katanya kepada pemberita selepas majlis Ucaptama Negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Osman Muda dan Ahli-ahli Exco negeri.

Menurut Ahmad Razif, beliau berharap bantuan itu akan dapat mengurangkan masalah dan isu kewangan yang dihadapi pelajar di negara berkenaan sebelum ini.

Selain itu dalam ucaptama, beliau berkata kerajaan Terengganu bertekad membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat dengan menghasilkan 41,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

Katanya hasrat tersebut boleh dilaksanakan sekiranya projek dan program yang dicadangkan menerusi transformasi ekonomi berjalan dengan baik.

"Bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat, saya mencadangkan supaya ditubuhkan satu pasukan petugas yang akan bertindak sepertimana Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sewaktu berlakunya Krisis Ekonomi 1999 dahulu.

"Kita perlu tangani isu ini segera dan memikirkan apa yang boleh dilakukan dalam bidang kuasa kita kerana banyak isu berkaitan dengannya berada di luar kawalan kita seperti peningkatan harga komoditi dan kejatuhan ekonomi negara- negara pengeksport," katanya.

Mengulas mengenai seorang rakyat Terengganu yang didakwa terlibat dalam serangan bom berani mati di Syria, beliau berkata kerajaan negeri amat terkejut dengan berita tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan negeri belum mendapat maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Mengikut laporan akhbar semalam, dua orang rakyat  Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan berani mati di Iraq dan Syria minggu lepas.

Sehubungan itu, Ahmad Razif  menasihati pelajar-pelajar yang menuntut di negara berkenaan supaya tidak melibatkan diri dalam kejadian seumpama itu kerana ia bercanggah dengan akidah Islam.

Beliau berkata kerajaan tidak berkompromi dan akan bertindak tegas termasuk menarik balik pinjaman yang telah diberikan kepada mereka. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger