Cari dadah jumpa senapang
Written By aku on Tuesday, 16 February 2016 | 12:02 pm
TEMBILA - Lain dicari, lain yang ditemui. Itulah situasi dihadapi Pasukan Khas Spider Ibu Pejabat Daerah (IPD) Besut dalam operasi yang diadakan di sebuah rumah di Kampung Bukit Kenak, dekat Jertih, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 pagi itu, polis gagal menemui sebarang jenis dadah sebagaimana maklumat diperoleh sebelum itu, sebaliknya menjumpai dua laras senapang angin bersama 100 butir peluru.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, penemuan senapang angin itu susulan penahanan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dalam mencurigakan ketika operasi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pasukan terlibat melakukan operasi tersebut selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
“Polis terserempak dengan suspek yang berada di hadapan rumah dalam keadaan mencurigakan, lalu bertindak menahannya dengan memperkenalkan diri sebagai polis.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui dua laras senapang angin jenis rifle yang disembunyikan di atas dan dalam almari bilik tidur hadapan,” katanya.
Menurut Khaled, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui satu botol plastik mengandungi 100 peluru dipercayai untuk senjata tersebut.
Katanya, suspek kemudian ditahan reman untuk siasatan lanjut, malah barang kes turut dirampas.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api,” katanya.
Labels:
Jenayah