Home » » Gempa di Tasik Kenyir mungkin berulang

Gempa di Tasik Kenyir mungkin berulang

Written By aku on Thursday 25 February 2016 | 10:11 pm


KUALA LUMPUR - Gempa bumi yang berlaku di kawasan Empangan Tasik Kenyir, Terengganu pada Selasa lepas, tidak perlu dibimbangkan walaupun ia mungkin berulang.

Pakar Geologi Struktur dan Tektonik Universiti Malaya, Prof Madya Mustaffa Kamal Shuib berkata kejadian itu bukan baru kerana empangan yang dibina pada 1984 itu pernah mengalami gempa bumi sebanyak 28 kali dalam tempoh tiga tahun iaitu antara 1984 dan 1986.

"Sepanjang 28 kali itu kawasan tersebut dilanda gempa bumi berukuran antara 2.6 hingga 4.6 skala Richter. Pada 2010, terdapat satu lagi gempa bumi dan sekarang (23 Feb) ia berlaku lagi.

"Gempa bumi sebegitu mungkin akan berulang tetapi tidak dapat diramalkan bila ia akan berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir dan gegaran dirasai di Kuala Berang pada pukul 9.25 malam Selasa.

Pusat gempa bumi itu terletak di lima darjah utara dan 102.9 darjah timur, iaitu 16km barat daya dari Kuala Berang.

Bagaimanapun, Mustaffa Kamal berkata keadaan empangan itu dalam keadaan stabil dan tidak perlu dibimbangkan kerana gegaran yang berlaku itu tidak akan menghasilkan gempa bumi yang besar.

Beliau menjelaskan tekanan air dalam empangan yang melepasi paras 150 meter ‎merupakan punca berlakunya gempa bumi di kawasan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar itu.

Beliau juga mencadangkan semua empangan di negara ini supaya menggunakan ‎alat seismometer bagi mengenal pasti gempa bumi dengan awal.

"Seismometer boleh menyukat pergerakan bumi, termasuk gelombang seismos yang dihasilkan gempa bumi dan rekod gelombang itu boleh digunakan ahli seismologi‎ untuk mengukur betapa besar punca gegaran berkenaan," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia juga melaporkan gempa bumi itu berpunca daripada tekanan dihasilkan air dalam empangan tersebut.

Pemeriksaan awal di Stesen Kuasa Elektrik Hidro Sultan Mahmud di Kenyir juga mendapati tiada sebarang kesan fizikal akibat gegaran tersebut, menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB). - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger