Home » » Larang individu berceramah timbulkan persepsi negatif

Larang individu berceramah timbulkan persepsi negatif

Written By aku on Friday, 5 February 2016 | 9:26 pm


SHAH ALAM - Tindakan Majlis Agama Islam Negeri Johor melarang sebilangan penceramah untuk berceramah di negeri itu memberikan beberapa gambaran termasuklah dari sudut negatif terhadap institusi agama Islam itu sendiri.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional (Amanah), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, larangan tersebut seolah-olah mewujudkan satu konflik antara para agamawan yang mempunyai idealisme serta cara fikir yang berbeza.

“Masyarakat terutama kelompok yang berminat untuk mendalami Islam sudah pasti terkeliru apabila melihat para agamawan serta institusinya bertelagah sesama sendiri.

"Ia sedikit sebanyak berisiko memberi kesan terhadap penyebaran serta penerimaan masyarakat terhadap Islam itu sendiri.

“Larangan tersebut telah menyebabkan ramai pihak serta masyarakat kurang senang terhadap larangan tersebut kerana ia melibatkan tokoh-tokoh besar termasuklah Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Asri Zainal Abidin. Individu yang tersenarai turut meluahkan rasa kecewa kerana dikatakan mereka tidak diadili sebaik mungkin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Exco Agama Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata, keputusan itu diambil kerana mendakwa penceramah terbabit tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah


Menurut pandangan pihak Amanah, isu itu perlu ditangani serta diuruskan dengan penuh hikmah dalam menjaga nama baik serta keharmonian Islam.

“Kami yakin sekiranya isu ini ditangani dengan penuh hikmah dan ilmiah, agama Islam itu sendiri akan dihormati dan disanjungi oleh semua pihak,” ujarnya.

Meskipun mengakui bahawa Majlis Agama Negeri-Negeri mempunyai hak untuk melakukan tindakan sedemikian, kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) sebaliknya disaran mengeluarkan satu prosedur khas untuk menangani isu seperti ini.

“Misalnya, setiap penceramah yang ingin disekat perlu dipanggil untuk dijelaskan sebab-sebab sekatan tersebut dan mereka pula perlu diberikan ruang untuk memberikan penjelasan.

“Prosedur seperti ini diyakini akan dapat mengharmonikan suasana dan selari dengan tuntutan agama Islam yang memberi peluang dan hak untuk diadili sebaik mungkin.

"Kami yakin, tindakan tegas yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor bermatlamat positif untuk menjaga kesucian Islam tetapi kami gusar ianya telah memberikan persepsi tidak baik terhadap institusi tersebut dan Islam itu sendiri,” katanya lagi.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger