Home » » Parti Amanah tidak akan tahan lama

Parti Amanah tidak akan tahan lama

Written By aku on Friday 19 February 2016 | 9:14 pm


KOTA BHARU - Parti Amanah tidak akan bertahan lama memandangkan ia berjuang atas dasar ‘tidak sebulu’ (selisih pendapat) antara pimpinan Pas dan bukan atas tiket perjuangan.

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Datuk Hassan Mahmood berkata, penubuhan parti itu adalah hasil daripada serpihan pimpinan Pas terdahulu yang tidak berpuas hati menyebabkan wujudnya Amanah.

“Banyak pengalaman menunjukkan jika sesebuah parti ditubuhkan kerana selisih pendapat dan bukan perjuangan, maka akan berlaku perpecahan dan kembali kepada parti asal atau sebaliknya.

“Namun ia bukan perkara pelik dan saya yakin parti Amanah tidak akan bertahan lama kerana ia wujud bukan berdasarkan perjuangan, tetapi lahir akibat perasaan tidak puas hati terhadap Pas itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan gimik pelancaran mengagihkan pelekat kenderaan sempena Program Islamic Wedding Festival (IWF) sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 di pekarangan Hotel Perdana semalam.

Sementara itu, ditanya mengenai kelantangan Datuk Husam Musa yang secara terang-terangan mengkritik pemerintahan Pas Kelantan, Hassan berkata, beliau menyerahkan isu itu kepada Pas Pusat.

“Dewan Ulama menyokong penuh apa juga tindakan terhadap Husam yang akan diambil oleh jawatankuasa tatatertib untuk kebaikan bersama.

“Saya yakin dan percaya, Husam seorang yang berpegang kepada perjuangan Pas dan tidak akan mudah berubah. Namun saya harap dia dapat mengubah caranya menegur pimpinan Pas Kelantan,” katanya.

Hassan berkata, jika ada perkara yang ingin disuarakan dia boleh bersuara dalam mesyuarat parti dan dia (Husam) boleh hadir dalam mesyuarat itu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger