Rompak tukang gunting
Written By aku on Tuesday 2 February 2016 | 12:05 pm
KOTA BHARU – Seorang buruh yang merompak seorang tukang gunting rambut selepas selesai memotong rambutnya dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Hakim Mohd Yusoff Yunus terhadap Mat Faizul Mat Din, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Beliau turut memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditahan pada 19 Mac 2015.
Mat Faizul didakwa merompak Siti Taysha Abd Aziz, 22, dengan melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM30 di salon di hadapan Kem Desa Pahlawan, di sini, pada jam 11 pagi, 30 November 2014.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya, bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan.
“Jenayah yang dilakukan sangat serius dan saya mohon mahkamah mengambil kira kesan trauma dialami mangsa. Saya juga mohon satu hukuman berat dan sebat yang mampu membendung jenayah sama daripada berulang dalam masyarakat,” katanya.
Dalam kejadian lalu, mangsa didatangi tertuduh untuk mengunting rambut di salon berkenaan. Selesai mengunting, tertuduh tiba-tiba mengacu pisau dan bertindak mencekik mangsa.
Mangsa diheret ke sebuah bilik dan dipijak sebelum tertuduh mengambil wang tunai dan telefon bimbit.
Tertuduh selepas itu melarikan diri dengan motosikal jenis Honda Ex5, tetapi berjaya ditahan dan dicamkan sebagai orang yang merompak mangsa.
Labels:
Jenayah