Jertih: Penderitaan seorang wanita, Rusilawati Awang, 36, dari Kampung Bukit Kenak, dekat sini, yang menghidap penyakit kaki gajah mendapat perhatian pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib suri rumah terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Muhammad Fehimi Yusof yang mengetahui status wanita itu mengarahkan petugas Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih mengambil tindakan segera bagi membantunya.
Beliau berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu sudah bertindak menghantar wanita itu ke Hospital Besut (HB) untuk mendapat rawatan lanjut, kelmarin.
Menurutnya, wanita itu dengan bantuan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dibawa ke Unit Kecemasan hospital terbabit jam 10 pagi.
“Bagaimanapun, sejam kemudian wanita itu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk mendapatkan rawatan pakar dari hospital itu,” katanya.
Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata, kes wanita terbabit sebenarnya diketahui Pejabat Penyelaras DUN apabila mendapat maklumat daripada Wanita UMNO DUN Jertih yang datang melawat pesakit terbabit.
Katanya, kerajaan negeri juga membantu wanita itu menerusi Tabung Pesakit Kronik bagi membolehkannya mendapat rawatan di hospital dan semua kos ditanggung tabung berkenaan.
Rusilawati yang menghidap penyakit itu sejak 2002 dan terlantar di katil rumahnya kini tidak dapat meneruskan mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di hadapan rumahnya.
Akhbar ini, kelmarin menyiarkan nasib Rusilawati yang berhadapan dengan masalah kewangan termasuk terpaksa menanggung hutang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) RM9,000 selain menderita sakit untut gajah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112891#sthash.gD48OFaR.dpuf