Home » » Remaja 16 tahun ditahan pecah masuk rumah

Remaja 16 tahun ditahan pecah masuk rumah

Written By aku on Thursday 17 March 2016 | 11:54 am

KAMPUNG PADANG LUAS - Seorang tukang cat kereta tidak menyangka seorang remaja yang berperwatakan baik selepas ditangkap, rupa-rupanya kaki pecah rumah di sekitar kampung berkenaan.

Lelaki tersebut yang mahu dikenali sebagai Har, 53, berkata, dia dan penduduk lain memberkas remaja berusia 16 tahun itu selepas suspek memecah masuk rumah abangnya di belakang Masjid Padang Luas, kira-kira jam 10.30 malam, Isnin lalu.

Menurutnya, dia terserempak dengan suspek ketika pergi ke rumah abangnya (bersebelahan rumah) untuk menutup suis wifi kerana mereka sekeluarga meninggalkan rumah tiga hari sebelum itu untuk bercuti di Kuala Lumpur.

“Anak lelaki, 10, masuk ke dalam rumah untuk menutup suis. Saya pula menunggu di luar sebelum dikejutkan dengan jeritan anak saya.

“Saya bergegas masuk ke dalam rumah dan melihat kelibat seorang lelaki menerpa, lalu menendang bahu saya dan melompat pagar untuk melarikan diri ke arah dewan orang ramai di hadapan rumah,” katanya.

Menurut Har, ketika dia mengejar suspek, isterinya yang berada di rumah menjerit apabila melihat dua lagi suspek keluar melalui dapur rumah untuk melarikan diri.

Katanya, dengan bantuan jiran, suspek pertama yang belajar di sebuah kolej teknikal di Bachok, Kelantan diberkas di dalam dewan tersebut.

“Sebaik melarikan diri, suspek masuk ke dalam dewan dan merampas raket badminton daripada seorang kanak-kanak bagi mengaburi mata penduduk yang sedang mencarinya.

"Selepas ditangkap, suspek mengaku memasuki rumah itu bersama dua rakan yang masih belajar, termasuk seorang pelajar tingkatan dua di sekolah menengah berhampiran," katanya.

Har berkata, melihat wajah dan percakapan suspek, dia tidak menyangka suspek kerap melakukan pecah rumah di sekitar kampung berkenaan.

Menurutnya, difahamkan suspek terlibat dengan 11 kes pecah rumah di kampung berkenaan dan beberapa kampung berhampiran.

"Suspek yang tinggal di kawasan berdekatan ditahan polis, sementara dua rakannya dikenal pasti penduduk tinggal kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian.

"Suspek bersama rakannya sempat menggeledah sebuah bilik sebelum dikejutkan anak saya yang masuk ke dalam rumah untuk menutup suis wifi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah mengesahkan kejadian dan suspek ditahan reman untuk membantu siasatan.

Menurutnya, polis turut merampas satu besi kuku kambing dipercayai digunakan suspek untuk mengumpil jeriji tingkap dapur rumah berkenaan.

“Polis mengenal pasti dua rakan suspek dan usaha menangkap mereka sedang dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger