Muhammad Pehimi dan isteri menziarahi ibu mangsa (dua, kiri) di samping bayinya di Taman Selasih, petang kelmarin. |
JERTIH - “Dia (suami) sayangkan anak saya, tapi tingkah laku anak saya yang terlalu aktif dan tidak dengar kata menyebabkan dia hilang sabar, lalu memukulnya," luah wanita berusia 32 tahun iaitu ibu kepada kanak-kanak perempuan OKU berusia 9 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera bapa tiri di Taman Selasih, di sini.
Wanita itu berkata, tingkah laku anaknya yang mempunyai masalah lembam dan terlalu aktif, berubah menjadi terlalu nakal serta tidak mendengar nasihat sejak dia melahirkan seorang bayi perempuan hasil perkahwinan dengan bapa tiri mangsa, dua bulan lalu.
Katanya, mangsa mungkin berubah kelakuan kerana menyangka ibunya tidak lagi menyayangi dan memberi perhatian setelah dia mendapat adik baharu, lalu dia memberontak hingga mencetuskan kemarahan bapa tiri.
“Dulu ayah tirinya tidak pernah pukul sebegini, tetapi sekarang dia tidak dengar nasihat menyebabkan suami saya bertindak demikian.
“Saya sering nasihati anak saya agar tidak nakal ketika ayah berada di rumah, tetapi dia tidak endahkan menyebabkan suami saya pukul dia dengan satu objek,” katanya.
Bagaimanapun, ibu mangsa mendakwa kesan lebam dan bengkak di pipi anak sulungnya bukan disebabkan ditumbuk suaminya, sebaliknya mangsa terlanggar sesuatu ketika melarikan diri apabila dimarahi bapa tirinya.
“Saya akui takut untuk halang suami ketika dia pukul anak saya. Sekarang saya tidak tahu masa depan kami sekeluarga sekiranya berlaku apa-apa terhadap suami kerana saya hanya bergantung hidup padanya.
"Saya juga sayangkan anak saya, kalau boleh saya mahu terus menjaganya. Tetapi jika dia ditempatkan di pusat penjagaan kanak-kanak, biarlah saya boleh lawat selalu,” katanya yang juga merupakan OKU ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof bersama isteri, Toh Puan Roslida Daud yang menyampaikan sumbangan.
Muhammad Pehimi sebelum itu turut melawat mangsa yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Rusmi Mahmooh.
Dalam kunjungan tersebut, keadaan anak bongsu wanita itu yang menghidap masalah jantung, turut menyentuh hati Muhammad Pehimi dan rombongannya.
Wanita itu berkata, bayinya itu dilahirkan dalam keadaan saiz jantung kecil sebelah, malah pihak hospital memaklumkan peluang untuk hidup hanya selama dua minggu selepas dilahirkan.
“Syukur dia masih ada, tapi kadang-kadang saya tidak sampai hati lihat dia menangis... mungkin menanggung kesakitan. Anak sulung saya (mangsa dera) pula, selain OKU, dia juga alami masalah jantung sejak lahir dan telah lama tidak pergi menjalani rawatan,” katanya.
Sementara itu, Rusmi Mahmood berkata, sekiranya bapa tiri mangsa disabitkan kesalahan, JKM akan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada wanita itu bagi memastikan dia dapat menyara diri dan keluarga.
Muhammad Pehimi turut meluahkan rasa dukacita kerana masih ada ibu bapa tidak menjalankan tugas sebaiknya hingga tergamak mendera.
“Sekiranya mangsa tidak sesuai tinggal bersama warisnya sebaik keluar hospital nanti, dia akan ditempatkan di Sinar Harapan, Kuala Terengganu di bawah pengawasan JKM,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan OKU mengalami kesan lebam di muka dan badan dipercayai didera bapa tiri berusia 34 tahun.
Susulan laporan dibuat penduduk kampung, suspek ditahan polis pada awal pagi Jumaat.