Penoreh getah ditahan disyaki edar dadah
Written By aku on Sunday, 8 May 2016 | 1:32 am
BESUT - Seorang penoreh getah yang disyaki menjalankan kegiatan mengedar dadah ditahan di sebuah bangsal dalam kebun getah di Kampung Lata Tembakah, Bukit Payong, di sini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata tangkapan pada jam 6.10 petang, semalam itu dibuat susulan maklumat daripada orang awam dan suspek yang berusia 32 tahun itu cuba melarikan diri namun tidak berjaya.
"Semasa suspek cuba melarikan diri dia dilihat sempat mencampakkan sebuah beg kecil berwarna hijau ke lantai bangsal tersebut yang kemudiannya sempat dikesan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND)", katanya kepada media di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksan lanjut ke atas beg tersebut, polis telah menemui tiga bungkusan kertas yang setiap satu mengandungi 520 biji pil seberat 65.22 gram dianggarkan bernilai RM5,200.
Suspek yang didapati aktif sebagai pengedar sejak awal tahun ini merupakan penduduk tempatan dan telah ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut bermula semalam. - Bernama
Labels:
Jenayah