Home » » Belanjawan Alternatif 2017 tidak realistik

Belanjawan Alternatif 2017 tidak realistik

Written By aku on Thursday, 20 October 2016 | 11:55 am


KUALA LUMPUR - Belanjawan Alternatif 2017 oleh Pakatan Harapan adalah tidak realistik dan hanya bersifat populis, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, cadangan pembangkang termasuk penambahbaikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 'berkadar sifar' akan menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan dan berdepan dengan krisis ekonomi.    

"Senaraikan kepada saya pengganti kepada hasil GST, daripada mana mereka mahu mendapatkan kembali hasil yang sudah hilang itu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Johari, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata cadangan menghapuskan GST akan menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan lebih RM30 bilion setahun.

Selain itu, katanya, cadangan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 kepada RM1,500 dan mahu memberi subsidi RM250 daripada kenaikan tersebut, turut akan membebankan kewangan negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah‎ berkata, belanjawan tersebut hanya bersifat populis dan retorik.

Beliau berpendapat pembentangan belanjawan alternatif oleh parti pembangkang itu tidak menyatakan secara teliti sumber pendapatan diperolehi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pakatan Harapan bentang Bajet Alternatif 2017]

"Seperti biasa ia merupakan bajet populis sahaja, bajet yang hanya dibuat untuk mewar-warkan bagi membolehkan rakyat menerima mereka," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata belanjawan alternatif itu hanya ingin 'menggula-gulakan' rakyat dengan falsafah yang cuba ditonjolkan, namun tidak menyatakan sumber pendapatan yang diperolehi.  

"Misalnya, apabila mereka ingin mencadangkan soal pertanian, mereka menerangkan falsafah tentang kaedah bagaimana ia dilaksanakan namun yang paling penting di manakah asas bajet itu," katanya.

Katanya apabila sesuatu belanjawan itu diperkenalkan, ia memerlukan pertimbangan yang sewajarnya termasuk jumlah pendapatan dan perbelanjaan.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berkata buku belanjawan alternatif itu sendiri menunjukkan tiadanya tahap profesional pakatan pembangkang.

"Muka depan buku belanjawan pun menunjukkan orang berdemonstrasi, jadi adakah bajet itu dibuat dengan terperinci?," soalnya. - Bernama

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger