Bumbung terbang timpa kereta
Written By aku on Saturday, 22 October 2016 | 12:18 am
JERTIH - Sebanyak lima buah kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta di hadapan sebuah bangunan kedai di Jalan Dato Kamaruddin di sini mengalami kerosakan selepas sebuah bumbung besar melayang dipukul ribut dalam kejadian petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, bumbung zink dari sebuah bangunan yang terletak berhampiran jatuh lalu menimpa empat buah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di bawah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Mustafa Ismail berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan kecil pada kenderaan tersebut dan tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan yang berlaku.
Menurutnya, susulan kejadian itu sepasukan anggota bomba daripada balai berkenaan bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan tempat letak kereta berhadapan deretan kedai.
“Sebuah kereta jenis Perodua Viva mengalami kerosakan di bahagian but belakang sementara kenderaan lain hanya kerosakan kecil.
“Ketika kejadian tidak ada orang di dalam kenderaan atau orang lalu lalang di situ kerana hujan lebat,” katanya.
Mustafa berkata, kejadian tersebut berlaku sejurus hujan lebat diikuti oleh ribut kuat menyebabkan bumbung di puncak bangunan yang terletak bertentangan dengan deretan kedai itu diterbangkan angin.
Menurutnya lagi, pihak bomba dibantu kontraktor pembersihan bandar Jertih kemudiannya bertindak membersihkan serpihan bumbung tersebut.
Pemilik kereta Perodua Viva, Roslan Taib, 48, berkata, kejadian berlaku di depan matanya kerana ketika kejadian dia berada di hadapan sebuah kereta berhampiran keretanya.
Menurutnya, ketika itu hujan lebat berserta angin kuat dan tiba-tiba dia melihat kepingan bumbung besar terbang dan terjatuh ke bawah menimpa keretanya dan kenderaan lain.
“Walaupun kereta mengalami kerosakan tetapi saya bersyukur kerana saya dan isteri tidak berada di dalam kereta tersebut ketika kejadian,” katanya yang tinggal di Felda Tenang, Hulu Besut.
Labels:
Semasa