Home » » Suspek curi motosikal dikesan

Suspek curi motosikal dikesan

Written By aku on Monday 3 April 2017 | 12:52 pm


BESUT - Polis sedang mengesan seorang individu yang dipercayai terlibat mencuri dua motosikal dianggarkan bernilai RM6,000 berhampiran sebuah pasar raya di Kuala Besut, dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, wajah seorang suspek berjaya dirakam CCTV ketika mereka mencuri dua motosikal di tempat letak motosikal pasar raya tersebut, kira-kira jam 4.09 petang.

Menurutnya, kedua-dua motosikal jenis Honda EX5 itu diletakkan dua pekerja wanita di pasar raya tersebut, masing-masing pada jam 3 dan 2 petang di lokasi terbabit.

“Seorang pembantu jualan perempuan berusia 24 tahun dari Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan terlebih dahulu menyedari motosikal milik abangnya itu hilang jam 4.30 petang.

“Sebelum itu dia meletakkan motosikal terbabit di situ kira-kira jam 2 petang dalam keadaan berkunci,” katanya.

Mohd Zamri berkata, seorang lagi mangsa yang juga bertugas sebagai pembantu jurujual berusia 27 tahun dari Kampung Beris Cawat menyedari kehilangan motosikal kira-kira jam 4.45 petang yang diletakkan di kawasan sama.

Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV, polis percaya perbuatan tersebut dilakukan tiga suspek.

“Wajah seorang daripada mereka dapat dirakam CCTV dan usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan.

“Polis percaya mereka ini kumpulan pencuri motosikal yang aktif  di daerah ini dan mahir dalam melakukan kerja jenayah tersebut,” katanya.

Mohd Zamri berkata, sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek tersebut agar menghubungi balai polis berhampiran atau Inspektor Siti Fatimah Mohd Said di talian 09 6959999.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan kerana mencuri motosikal.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger