Home » » Pasangan kekasih curi 12 ekor anjing ditahan

Pasangan kekasih curi 12 ekor anjing ditahan

Written By aku on Tuesday 24 December 2013 | 1:23 pm


Wanita, teman lelaki ditahan berikutan dua kes pecah masuk kedai haiwan peliharaan minggu lepas
KUCHING: Seorang wanita berusia 21 tahun dan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pasangan kekasih telah ditangkap di sebuah rumah teres di Riveria di sepanjang jalan lingkaran luar Samarahan pada malam kelmarin berikutan dua kes pecah masuk kedai haiwan peliharaan yang berlaku pada minggu lepas.
Dalam serbuan yang dijalankan oleh polis yang diketuai Inspektor Dorai Rajah sekitar jam 11.30 pagi, 12 ekor anjing pelbagai baka termasuk Maltese, Pincher dan Pomerinarian turut dijumpai.
Tujuh ekor anjing sudah dikenal pasti oleh seorang pemilik kedai haiwan ternakan yang terletak di Jalan Song manakala seekor lagi, anjing Pincher, adalah milik pemilik kedai haiwan ternakan di Green Height.
Sebuah kereta Perodua Myvi dengan nombor casis pada enjin yang diubah suai, empat sport rim kereta berwarna emas dan peralatan elektrik dari rumah berkenaan turut dirampas.
Anjing baka Maltese yang dimiliki Little Pet Shop di Jalan Song telah membawa polis kepada suspek.
Beberapa hari sebelum serbuan, anjing itu berjaya melepaskan diri dari kandang dan meninggalkan rumah berkenaan.
Suspek lelaki mengejar anjing tersebut sehingga ke jalan utama dan orang awam yang mengecam haiwan peliharaan itu menerusi posting tentang kehilangannya dalam Facebook segera memaklumkan Chong yang memiliki Litte Pet Shop.
Dia segera membuat laporan polis dan susulan laporan itu, polis menjejaki suspek dan berjaya menyerbu rumah berkenaan.
Pemilik kedua-dua kedai bukan sahaja gembira kerana mendapatkan semula anjing-anjing mereka tetapi turut membantu polis mengendalikan haiwan-haiwan peliharaan tersebut.
Chong berkata kedainya dipecah masuk oleh pencuri sekitar jam 4.30 pagi pada 15 Disember lalu.
“Pekerja saya yang tinggal di atas kedai mendengar anjing menyalak dan turun ke bawah untuk memeriksa,” kata Chong.
“Mereka melihat seorang lelaki membawa anjing keluar dan meletakkannya di dalam sebuah kereta Proton Wira berwarna biru.
“Pekerja saya percaya ia dilakukan oleh lebih daripada seorang individu kerana mereka mendengar perbualan,” katanya.
“Mereka segera menghubungi polis tetapi apabila mereka tiba, pencuri sudah lari.
“Pencuri masuk menerusi pintu utama dengan memecah tingkap kaca dan memecah jerigi,” kata Chong.
“Sebanyak 11 ekor anjing dari kedai saya dicuri tetapi hanya tujuh sahaja ditemui manakala empat masih hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa membantu polis mengendalikan anjing-anjing di lokasi.
Sementara itu kedai haiwan peliharaan di Green Height dipecah masuk Jumaat lepas dan benda yang hilang selain anjing adalah makanan haiwan, alat mengemas haiwan peliharaan dan kandang.
Orang ramai yang kehilangan haiwan peliharaan dinasihati mengenal pasti haiwan berkenaan di Little Pet Shop di mana empat daripada haiwan-haiwan yang hilang itu disimpan.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger