Klang – “Tolonglah encik, jangan tahan saya. Saya datang ke Malaysia nak bekerja sebab saya ada anak dan keluarga yang perlu ditanggung di Indonesia. Tiada siapa akan bagi mereka makan kalau saya kena tahan.”
Itu antara rayuan ‘lapuk’ seorang wanita Indonesia ketika ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi Ops Penjaja di kawasan Sungai Udang, di sini, pagi semalam.
Wanita berusia 40-an itu bekerja di sebuah kedai runcit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kerja yang sah.
Dalam operasi dua jam bermula jam 10 pagi itu 212 warga asing diperiksa dan 155 daripadanya ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Selangor Muhammad Amri Muhammad Sum berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan warga asing di 14 premis sekitar Jalan Sungai Udang dan Lorong Kepayang.
“Kita menahan 55 warga Indonesia, Nepal, (38), Bangladesh (33), Myanmar (14), India (7), Pakistan (3) serta seorang daripada Kemboja dan Sri Lanka.
“Mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan seperti menetap melebihi tempoh masa yang dibenarkan selain gagal menunjukkan dokumen sah memasuki negara ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.
Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan lima saman saksi terhadap majikan dan pemilik premis kerana disyaki menggaji dan melindungi warga asing tanpa permit kerja yang sah.
Katanya, semua warga asing itu di bawa ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
Mengulas lanjut, Muhammad Amri menasihatkan orang ramai terus memberi kerjasama menyalurkan maklumat kepada Imigresen.
“Jabatan Imigresen mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi warga asing yang bekerja secara tidak sah atau berdepan tindakan undang-undang.
“Orang ramai boleh membantu Jabatan Imigresen melaksanakan penguatkuasaan diminta tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang,” katanya, lapor Hmetro.