Selepas di tembak mangsa gagal mengawal kenderaan lalu melanggar tiang elektrik berhampiran tempat kejadian malam tadi. |
BESUT - Seorang pemilik bot nelayan laut dalam yang juga pemborong ikan mati setelah ditembak dua das di badannya ketika sedang memandu kereta jenis Mercedes di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut, di sini malam semalam.
Mangsa Daud @ Wan Ahmad Bin Wan Awang, 68, dari Kampung Gertak Seratus yang terletak tidak jauh daripada tempat kejadian dipercayai di tembak oleh salah seorang daripada dua lelaki bermotosikal sekitar jam 8 malam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan pulang selepas selesai minum di gerai Dataran Kuala Besut.
Menurutnya, apabila sampai di simpang tiga jalan Kampung Teluk Bayu, tiba-tiba kereta dipandu mangsa dihampiri sebuah motosikal jenis Yamaha LC warna merah dinaiki dua lelaki.
“Suspek memakai topi keledar merah dan menutup muka dengan kain kemudian pembonceng bertindak mengacu pistol lalu melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa,” katanya.
Mohd Zamri berkata lagi, satu dah daripada tembakan tersebut mengenai bahu dan sebutir lagi mengenai dada kanan mangsa.
Menurutnya, rakan mangsa yang berada di sebelahnya ketakutan lalu bertindak terjun keluar daripada kereta sementara mangsa terus memandu kereta sehingga terlanggar tiang elektrik berhampiran tempat kejadian manakala suspek melarikan diri.
“Penumpang yang terselamat itu kemudian menghubungi anak lelaki mangsa sebelum mangsa di bawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut namun disahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mangsa kemudian di bawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya. gerakan mengesan suspek sedang giat dilakukan dan motif sebenar kejadian belum diketahui.
Mohd Zamri berkata, kes ini disiasat di bawah Seksysn 302 Kanun Kesiksaan.
Sementara itu rakan yang bersama mangsa merupakan bapa kepada lelaki yang mati ditetak sekumpulan lelaki di Kampung Pengkalan Nyireh bulan lepas.