Home »
Kemalangan
» Maut tercampak atas jalan
Maut tercampak atas jalan
Written By aku on Thursday, 24 December 2015 | 12:19 am
JERTIH - Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun maut, manakala kakaknya cedera ringan apabila motosikal ditunggang bapa mereka, yang dalam perjalanan pulang selepas mengaji al-Quran, dirempuh sebuah pacuan empat roda di jalan Kampung Tandak, di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu turut mengakibatkan bapa mereka, Wan Hasbullah Mat Yusof, 44, patah paha.
Wan Fadhlin Shamini maut di tempat kejadian selepas terpelanting dan cedera parah di kepala, sementara Wan Fadhlin Sakina, 8, cedera di bahagian kepala.
Dilanggar pacuan empat roda
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, penunggang motosikal dikatakan menghala dari arah Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih ke Hospital Besut, namun ketika tiba lokasi kejadian, sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier, yang datang arah bertentangan, hilang kawalan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kereta terbabit memasuki laluan mangsa dan melanggar motosikal Modenas Kriss yang mereka naiki menyebabkan semua mangsa tercampak ke atas jalan.
“Ketika kejadian, Wan Hasbullah (yang beralamat di Jalan Sekolah Menengah Seri Nering) membonceng dua anak perempuannya. Wan Fadhlin Shamini meninggal dunia di lokasi, manakala Wan Hasbullah dan seorang lagi anaknya cedera.
"Jenazah dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat, malah dua mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama. Wan Hasbullah kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, sementara Wan Fadhlin Sakina dirawat di wad,” katanya.
Menurut Khaled, pemandu pacuan empat roda terbabit tidak cedera dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lain ditunggu, lain tiba
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Fayrus Mat Yaacob, 24, berkata, kejadian berlaku ketika abangnya (Wan Hasbullah) dalam perjalanan ke Hospital Besut selepas menjemput dua anak perempuannya, yang selesai mengaji al-Quran di Kampung Gong Nering, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
Menurut Fayrus, abangnya sempat singgah di rumah ibunya di kampung tersebut, sementara menunggu anaknya selesai mengaji al-Quran tidak jauh dari situ.
“Dia agak tergesa-gesa mahu pulang sebab berjanji dengan isterinya (Hamidah Baharum, 42) yang menunggu di unit kecemasan hospital kerana membawa anak bongsu mereka (Wan Muhamad Fakhri, 9 bulan) yang sakit perut.
“Bagaimanapun, agak menyedihkan kerana ketiga-tiga mereka sampai di hospital dalam keadaan berbeza, anak keduanya (Wan Fadhlin Shamini) maut, manakala suami dan anak sulungnya terlantar,” katanya.
Katanya, ketika itu, kakak iparnya mahu pulang ke rumah kedainya yang terletak berhampiran hospital berkenaan kerana terlalu lama menunggu suami dan dua anaknya yang tidak kunjung tiba, namun dia sempat dipanggil kakitangan hospital yang memberitahu mengenai kejadian.
Anak saudara berubah sikap
Fayrus berkata, dua anak saudaranya menunjukkan perubahan sikap pada malam kejadian apabila Wan Fadhlin Shamini lebih banyak bercakap, sedangkan sebelum ini dia pendiam, begitu juga dengan kakaknya yang selama ini banyak cakap, tetapi bertukar menjadi pendiam.
“Ketika kejadian, al-Quran yang digunakan untuk mengaji, berada bersama mangsa. Saya bawa pulang kitab suci itu semalam (kelmarin). Jenazah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jertih, kira-kira jam 10.30 pagi tadi (semalam),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof turut meluangkan masa menziarahi mangsa di Hospital Besut sejurus kejadian, malam kelmarin.
Labels:
Kemalangan