Pengharaman Vape Perlu Didasari Kajian dan Bukti – Dr Najmil
Written By aku on Saturday, 26 December 2015 | 1:29 pm
KUALA TERENGGANU, 23 Dis – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris meminta agar kerajaan agar mengkaji semula pengharaman vape kerana ianya dilihat berat sebelah dan tidak adil berbanding rokok yang sudah jelas merbahaya yang sepatutnya turut diharamkan sepertimana vape diharamkan.
Menurut beliau, pengharaman vape tanpa kajian yang kukuh sudah tentu menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan rakyat apabila dilihat perbandingan kajian antara bahayanya vape dan rokok kepada kesihatan manusia.
“Jelas terbukti bahawa rokok lebih merbahaya dari vape namun tidak pula ada promosi besar-besaran tentang bahayanya rokok itu. Sedangkan ada kenyataan yang saya baca daripada Pengarah Unit Kajian Kebergantungan Tembakau, Barts And The London School Of Medicine And Dentistry, Prof Peter Hajek yang menilai kajian Farsalinos yang mengesahkan menghisap vape 95 peratus lebih selamat daripada merokok.
“Begitu juga dengan kenyataan Pengetua Akademi Farmasi Malaysia, Prof. Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed yang menjelaskan secara amnya bilangan dan kuantiti bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam wap rokok elektronik, adalah jauh lebih rendah berbanding asap rokok yang mengandungi sekurang-kurangnya 4,000 bahan kimia berbahaya termasuk penyebab kanser
“Namun jika kerajaan tetap bertegas mahu mengharamkan penggunaan vape maka kerajaan juga mesti mengharamkan rokok selari dengan pengharaman rokok yang sudah lama diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Selain itu katanya lagi, pengharaman vape itu sudah tentu memberi kesan dan kerugian terhadap peniaga-peniaga yang telah melaburkan modal yang besar dalam perniagaan ini.
“Kebanyakkan dari peniaga vape ada terdiri daripada anak-anak muda Melayu. Sudah tentu tindakan kerajaan mengharamkan vape dengan tergesa-gesa tanpa ada bukti dan kajian sahih yang membuktikan vape ini lebih merbahaya dari rokok menyebabkan mereka merasa jengkel.
“Bahkan bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan ini telah terbukti di depan mata mereka bahawa vape menjadi alternatif kepada tabiat merokok yang sudah tentu lebih merbahaya. Ada perokok tegar yang berjaya berhenti merokok dengan menggunakan vape.
“Justeru itu, saya minta agar tidak ada diskriminasi dalam hal ini di mana dan pengharaman itu hendaklah di dasari dengan kajian dan bukti bahawa vape lebih merbahaya atau sama bahayanya seperti dan rokok dan memberi mudarat yang lebih besar kepada manusia. Tetapi jangan pula kerana cukai rokok menurun, maka ia menjadi alasan tersirat vape diharamkan,” ujarnya.-MediaUMNO
Labels:
Semasa