Muhammad Pehimi (tiga kanan) dan Wan Azhar (dua kanan) bertemu ketika masing-masing menziarahi keluarga Wan Azmi untuk bertanya khabar kehilangan Wan Wardah di sini semalam. |
JERTIH - Pasangan guru di Kampung Gong Kemuntong, di sini dalam keadaan tertekan dan risau apabila anak gadisnya Wan Wardah Balqist Wan Azmi, 14, hilang sejak pagi kelmarin selepas keluar ke sebuah kelas tambahan di bandar Jertih pagi kelmarin.
Wan Azmi Mohamad, 51, berkata, kehilangan anaknya disedari abang remaja itu ketika mahu menjemput Wan Wardah Balqist pulang mengikuti kelas tersebut kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurutnya, bagaimanapun Wan Wardah Balqist tidak muncul selepas kelas tambahan tamat malah guru di situ memberitahu dia tidak memasuki kelas tersebut kelmarin.
“Abang dia pergi hantar ke kelas itu jam 9 pagi dan jam 12 tengah hari pergi untuk jemput dia tetapi dia tidak muncul dan juga tidak pulang ke rumah. Guru di situ ada memberitahu dia melihat anak saya itu naik sekejap di kelas tersebut namun turun semula pada pagi kelmarin,” katanya.
Pendidik di Sekolah Menengah Sains Setiu itu ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong di sini semalam.
[ BACA JUGA - Bapa rayu bantu cari anak hilang]
Turut melawat keluarga mangsa Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhamad Pehimi Yusof, Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Wan
Azhar Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut, Azizul Jasmi Mohamad.
Wan Azmi berkata, dia dan keluarga berusaha mencari dan mengesan anaknya di merata tempat termasuk menghubungi saudara mara dan rakan-rakannya namun tidak berhasil menemui anaknya.
Hidap penyakit reput tulang
Beliau amat risaukan keadaan dan keselamatan anaknya itu tambahan pula dia mengalami masalah kesihatan iaitu reput tulang dan pernah menjalani tujuh kali pembedahan sebelum ini.
Katanya, akibat masalah itu Wan Wardah Balqist mengalami kesukaran berjalan kaki dan tidak boleh berdiri lama.
“Kami risau keadaannya ditambah dia menghadapi masalah kesihatan itu. Dia sebelum ini tidak pernah keluar rumah bersendirian mahupun dengan kawan-kawan kerana ke mana sahaja dia hanya bersama kami.
“Kami tidak tahu ke mana dia hilang dan sangat bimbang sekiranya dia mengikut atau dilarikan orang yang tidak baik.
“Dia dengan semua ahli keluarga tidak mempunyai sebarang perselisihan faham selain itu dia juga tidak mempunyai teman lelaki atau terlibat dengan perkara negatif,” katanya mengenai pelajar yang akan memasuki Tingkatan 3, Sekolah Menengah Agama (SMA) Ittifkiah, Jertih tahun depan.
Wan Azmi berkata lagi, beliau tidak menolak kemungkinan anaknya diperdaya untuk mengikuti rakannya ke sesuatu tempat namun bingung memikirkan motif mereka berbuat demikian.
Beliau kemudian membuat laporan kehilangan anaknya di Balai Polis Jertih kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.
Sehubungan itu beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau beliau sendiri di talian 01114980464.