KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memberi jaminan bahawa keputusan analisis serpihan pesawat yang ditemui di pantai Nakhon Si Thammarat, Thailand akan diketahui secepat mungkin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman memaklumkan, ia akan diketahui selewat-lewatnya pada Selasa.
"Saya rasa tidak lama. Insya-Allah, hari ini juga atau petang ini juga sekembalinya mereka (Pasukan DCA) daripada Nakhon Si Thammarat atau kalau pun esok pagilah kalau boleh kita dapatkan hari ini, hari ini juga kita akan bincang dengan YB Menteri untuk kita keluarkan kenyataan," ujar Azharuddin ketika dihubungi Astro AWANI.
Azharuddin mengulas mengenai penemuan serpihan bangkai pesawat di pantai wilayah Nakhon Si Thammarat pada jam 10 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia), pada Ahad.
Penemuan objek logam besar berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang itu dipercayai daripada bangkai kapal terbang.
Beliau berkata, pihaknya perlu bertindak cepat dan tepat bagi memastikan spekulasi atau khabar angin tentang penemuan serpihan membabitkan MH370 khususnya tidak terus tersebar di media sosial.
"Kalau mana-mana pun serpihan dijumpai kita tidak boleh ambil saja dan kalau dari segi gambar daripada apa yang kita ketahui, kita tengok adalah serpihan mungkin daripada pesawat, kita kena pergi, kita kena tengok sendiri dan kena menganalisakan adakah serpihan tersebut daripada pesawat? Adakah ia daripada MH370?
"Kita tidak boleh biar segala andaian dibuat begitu sahaja. Kita perlu analisa yang tepat supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi. Kita kena jaga juga perasaan waris-waris MH370," tegasnya.
Azharuddin menambah, pihaknya telah berbincang dengan pakar-pakar di Australia dan telah telah mengenal pasti trip pattern ataupun arus Lautan Hindi.
"Jika ada serpihan yang timbul di mana sekalipun ia akan tetap timbul. Flaperon yang ditemui di Pulau le Reunion adalah satu daripada arus Lautan Hindi yang akan membawa serpihan yang timbul ke Benua Afrika, dan apa-apa yang ditemui di sana akan dilihat dengan teliti," katanya lagi.