TNB bina rumah, bantu golongan asnaf
Written By aku on Monday 25 January 2016 | 8:29 pm
BESUT - Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited membantu menyediakan rumah yang selesa kepada golongan asnaf bagi mengurangkan kadar penduduk miskin tegar.
Pengurus Besar TNB Terengganu Saharenam Mukhtar berkata Projek Ziarah Asnaf 2016 merupakan satu daripada program membantu golongan tersebut dan sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), pihaknya sentiasa menyahut seruan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan.
"Melalui Projek Ziarah Asnaf ini, TNB membina dua buah rumah untuk golongan asnaf di Terengganu termasuk rumah yang telah dibina di Kampung Padang Lengkuas", katanya pada majlis penyampaian kunci rumah kepada Abdul Wahab Ibrahim yang disempurnakan oleh Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.
Abdul Wahab, 56, seorang penoreh getah merupakan penerima pertama menerusi projek tersebut.
Saharenam berkata sebelum ini, sebanyak 38 buah rumah telah berjaya dibina oleh TNB dalam tempoh lebih 10 tahun melalui Projek Baiti Jannati daripada peruntukan wang zakat TNB pulangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) di Terengganu.
Katanya rumah tersebut dibina dengan kos RM43,000 yang mempunyai tiga buah bilik, sebuah bilik air, dapur dan ruang tamu serta turut dilengkapi dengan perabot rumah.
Sementara itu, pemilik rumah projek berkenaan, Abdul Wahab melahirkan rasa syukur kerana dipilih oleh TNB untuk menerima rumah di bawah projek berkenaan.
"Memang saya tidak mimpikan untuk mendapat sebuah rumah secantik ini untuk berteduh tetapi tetap bersyukur apabila TNB memaklumkan kepada saya pada Oktober lepas bahawa saya akan menerima rumah baharu," katanya.
Sebelum ini, beliau dan isteri Siti Fatimah Mahmood, 50, serta tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia 14 hingga 21 tahun terpaksa tinggal di dalam sebuah rumah lama peninggalan mentuanya yang bukan sahaja bocor setiap kali hujan malah banyak dindingnya telah reput.
Beliau yang berpendapatan RM500 sebulan dengan menoreh getah berazam untuk menambah pendapatannya dengan berkebun. -Bernama
Labels:
Semasa