Minum racun: Buruh rebah depan ibu
Written By aku on Wednesday 18 January 2017 | 1:04 pm
BESUT - Seorang buruh meninggal dunia akibat minum racun serangga dalam kejadian di Kampung Kubang Depu dekat Jerteh, di sini, tengahari semalam.
Lelaki berusia 36 tahun itu memberitahu ibunya, dia telah minum racun serangga sebelum rebah di depan ibunya yang berusia 62 tahun.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian, kira-kira jam 12 tengahari, si mati pulang ke rumah lalu menyerahkan beg duit dan telefon bimbit miliknya kepada ibunya.
Menurutnya, si mati kemudiannya terus keluar rumah sambil memberitahu ibunya, dia mahu pergi jauh tanpa menyatakan ke mana dia mahu pergi.
"Beberapa minit kemudian, dia pulang semula dan memberitahu ibunya yang dia telah minum racun serangga.
"Simati rebah dan muntah muntah di atas tangga rumah," katanya.
Mohd Zamri berkata lagi, lelaki itu dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 2.25 petang.
Menurutnya, pihak hospital melaporkan tentang kematian lelaki tersebut kepada polis.
Kata Mohd Zamri lagi, mangsa merupakan seorang duda dua anak dan bercerai dengan isteri pada April tahun lalu.
"Siasatan mendapati kematian lelaki itu tidak mempunyai unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Labels:
Semasa