Home » » Cubaan pecah tabung masjid gagal

Cubaan pecah tabung masjid gagal

Written By aku on Tuesday 17 October 2017 | 8:16 am


KAMPUNG RAJA - Keputusan jawatankuasa Masjid Kampung Gong Bayor, di sini, memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan berbaloi kerana berjaya merakam perbuatan seorang lelaki cuba memecah tabung masjid itu sehari selepas ia berfungsi.

Perbuatan seorang lelaki berpakaian baju kemeja berjaya dirakam CCTV ketika berusaha memecah kunci tabung derma di bahagian dalam masjid kira-kira jam 11 pagi, Khamis lepas turut tular di media sosial.

Pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Tengku Jusoh Muda berkata, pihaknya baru sahaja memasang kamera di masjid itu berikutan sebelum ini pernah dua kali peti tabung masjid dipecahkan pencuri.


Menurutnya, perbuatan lelaki tidak dikenali yang cuba mencungkil salah satu tabung berjaya dirakam.

“Namun lelaki itu tidak berjaya pecahkan tabung tersebut sebelum beredar meninggalkan masjid.

"Saya difahamkan hari yang sama, lelaki tersebut turut memecahkan tabung derma Masjid Tembila dan Masjid Lapan Kubah, di Kampung Lapan Kotak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Lapan Kotak, Wahab Abdul Rahman berkata, lelaki sama yang dirakam cuba memecah tabung Masjid Gong Bayor juga telah memecah dua tabung Masjid Lapan Kubah kira-kira jam 11.15 pagi hari sama.
Menurutnya, suspek berjaya memecah dua tabung masjid dan melarikan sejumlah wang tunai hasil derma orang ramai dianggarkan bernilai lebih RM100.

“Berdasarkan CCTV yang dirakam di masjid kami dapati suspek datang dengan sebuah kereta Proton Iswara bersama seorang wanita dan empat kanak-kanak termasuk seorang bayi yang didukung wanita itu dipercayai isteri dan anak-anaknya.

“Kami kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan seterusnya termasuk menyerahkan rakaman kepada pihak polis,” katanya.

Sehubungan itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, pihaknya turut menerima laporan termasuk suspek berjaya memecah tabung Masjid Tembila dan usaha mengesan suspek yang dipercayai datang secara berkeluarga untuk mengaburi perbuatannya sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger