JERTIH - Hujan lebat melanda daerah ini turut membawa rezeki kepada orang ramai dengan menangkap pelbagai jenis ikan air tawar daripada sungai yang melimpah.
Pada saat ada yang sibuk mengemas barang-barang kerana bimbang rumah dinaiki air susulan hujan lebat sejak malam kelmarin, tetapi ia memberi peluang terbaik kepada segelintir penduduk memasang jaring ikan.
Bagi penduduk Kampung Tok Has, Ahmad Awang Kecil, 67, limpahan air hujan mendorongnya dan ramai penduduk termasuk dari kampung berhampiran keluar memasang jaring berhampiran sawah berdekatan rumahnya.
Menurutnya, setiap kali tibanya musim tengkujuh, dia akan keluar seawal pagi memasang jaring ikan dan akan pergi memungut hasil sebelum tengah hari.
“Syukur usaha saya semalam berjaya kerana semua jaring yang ditahan terkena ikan terutama ikan turbo.
“Orang sini panggil sekarang musim ikan ‘ngepas’ iaitu kumpulan ikan yang bergerak dalam kumpulan besar untuk bertelur dan sebab itu kebanyakan ikan ditangkap mempunyai telur,” katanya ditemui selepas menaikkan jaring yang dipasangnya di jalan Kampung Gong Penaga, di sini.
Ahmad berkata, ikan-ikan tersebut dapat dijadikan lauk untuk dimakan seisi keluarga dan rasanya enak terutama telurnya. --sinar--