Home » » UniSZA buka peluang ternak kambing tenusu

UniSZA buka peluang ternak kambing tenusu

Written By aku on Sunday 4 November 2018 | 5:55 pm


HULU BESUT -  Komuniti Besut berpeluang menternak kambing susu menerusi sistem pawah yang ditawarkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Ladang (PPL) UniSZA, Prof Dr Ramli Abdullah berkata, peluang itu bagi menarik minat penternak menghasilkan susu kambing berkualiti tinggi daripada baka UniSZA Saanen, seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.


Menurutnya, tawaran menyertai sistem itu terbuka kepada komuniti di daerah ini yang berminat menternak kambing dan pada masa sama mempunyai tanah serta kandang.

“Mereka yang terpilih akan dilatih selama dua minggu tentang menguruskan kambing baka ini dan cara menjalankan permanian beradas untuk membiakkan lagi baka seterusnya mendapatkan susu bermutu,” katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat UniSZA Dairy Goat Farming (UDGF) berkata, setakat ini sebanyak 30 ekor kambing baka itu telah dipawahkan kepada lima penternak di Besut.

Menurutnya, menerusi konsep itu, setiap penternak diberi lima ekor induk betina dan seekor induk jantan untuk tujuan bekalan susu dan penghasilan benih.

“Kos pengurusan harian kambing ini serendah RM5 sahaja seekor dan kita penternak mampu meraih pendapatan tinggi kerana kos rendah manakala harga borong susu kambing segar ialah RM10 seliter.

“Seekor ibu kambing baka ini mampu mengeluarkan dua liter susu sehari, bermakna penternak mampu memperoleh 10 liter susu sehari daripada lima ekor kambing betina,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan penglibatan seramai 100 penternak bermula tahun ini sehingga 2022.

Projek ternakan kambing tenusu itu dimulakan sejak Disember 2017 dengan jumlah kambing tenusu UniSZA Saanen sebanyak 165 ekor iaitu lapan induk jantan dan 157 induk betina.

Jumlah tersebut kemudian meningkat kepada 302 ekor, apabila 137 ekor anak kambing dilahirkan sejak Ogos 2018.

Bagi penternak yang berminat boleh merujuk terus ke Pejabat UDGF, Kampus Tembila, Besut, atau hubungi Muhammad Muslim Mohd Rodi di talian 0135850438 untuk maklumat lanjut.
--sinar--
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger