Home » » BesutMaju jadi 'tongkat kedua'

BesutMaju jadi 'tongkat kedua'

Written By aku on Wednesday 7 November 2018 | 4:05 pm


KAMPUNG  RAJA – Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif pertubuhan BesutMaju yang bersedia membantu menyumbang idea demi membangunkan negeri ini khususnya Besut.

Pengerusi Jawatankuasa  Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, BesutMaju boleh menjadi sebagai pemikir dan penggerak ke arah kemajuan rakyat.


Menurutnya, pertubuhan tersebut juga dianggap sebagai ‘tongkat’ kedua beliau bagi memperolehi input dalam memastikan kepimpinannya berkesan dalam usaha melakukan perubahan kepada daerah dan rakyat.

“Selepas terpilih sebagai wakil rakyat kemudian dilantik sebagai exco kerajaan negeri, saya rasakan banyak kekosongan dan benda yang saya tidak tahu.


“Rakan–rakan pemikir dari Lembah Klang banyak membantu saya dari segi idea dan dengan kesudian BesutMaju menyumbang idea, maka saya anggap  BesutMaju sebagai tongkat kedua,” katanya yang menghargai peranan BesutMaju.

Beliau yang juga Adun Kota Putera bercakap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan BesutMaju kali kedua di Desa Ukiran Kayu Kampung Raja.

Hadir sama Penaung Besut Maju, Datuk Fasri Shamsuddin; pengerusinya, Datuk Nawawi Ismail dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Sementara itu menurut Nawawi, BesutMaju sebuah pertubuhan yang menjadi kumpulan pemikir kepada pihak pentadbiran dan kepimpinan  daerah mahupun negeri.

Menurutnya, bagi memastikan hala tuju itu tercapai, enam kluster diwujudkan iaitu ekonomi, pendidikan, pertanian dan pelancongan, infrastruktur dan keselamatan awam.

“Kita disertai golongan profesional dan intelek mahu transformasi positif dapat dilakukan di Besut melalui idea dan kajian yang dilakukan.

“Kita adalah pemikir dan bukan pelaksana yang berkongsi idea dan fakta dengan pemerintah setempat agar dapat melaksanakan untuk kebaikan rakyat dan daerah.

“Kita juga boleh menjadi pendesak tetapi setakat ini kita tidak sampai ke tahap pendesak lagi,” katanya.

BesutMaju kini mempunyai keahlian kira-kira 550 orang dan pertubuhan ini terus membuka keahlian kepada orang ramai sama ada mereka atau suami dan isteri dilahirkan di Besut.

“Malah bukan kelahiran Besut tetapi pernah belajar, berkhidmat dan bermastautin di Besut boleh turut serta,” katanya.

Individu yang ingin menyertai BesutMaju boleh menghubungi ahli jawatankuasa pertubuhan itu Ramli Mohamad di talian 013-8980299.
--sinar--
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger